CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9243|Reply: 0

[Sarawak] AI tetap ada sisi gelapnya

[Copy link]
Post time 17-12-2024 03:39 PM | Show all posts |Read mode


Teo (tengah) semasa bercakap dengan pemberita sambil disaksikan Wan Azhan (kiri) dan Zaini di Sibu hari ini.

SIBU: Teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin memberi impak besar terhadap peningkatan isu penipuan dalam talian di negara ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Bagaimanapun katanya, dalam era digital kini Internet telah menjadi keperluan asas.

"Ketiadaan liputan Internet, walaupun hanya untuk satu jam dapat menimbulkan pelbagai masalah besar.

"Malangnya, Internet bukan sahaja dimanfaatkan oleh pengguna yang bertanggungjawab tetapi juga oleh penjenayah menjalankan aktiviti haram," katanya pada sidang media semasa lawatan kerja ke Pejabat Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sibu di sini hari ini.

Menurutnya, teknologi AI membolehkan penjenayah mencipta video palsu dengan menggunakan wajah dan suara individu terkenal untuk mempromosikan skim pelaburan palsu atau produk yang tidak wujud.

"Berdasarkan data terkini sehingga Oktober 2024, Malaysia telah merekodkan kerugian berjumlah RM1.2 bilion akibat jenayah dalam talian, satu angka yang sangat membimbangkan.

"Justeru, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah meningkatkan usaha menangani isu ini dengan memadam kandungan berunsur penipuan di media sosial," jelasnya.

Teo memberitahu, MCMC terus bekerjasama dengan penyedia platform utama untuk memastikan kandungan dimuat naik adalah sahih dan bebas daripada unsur penipuan.

Katanya, pada 2022 hanya 242 kandungan sedemikian yang diturunkan namun angka itu melonjak kepada 6,297 pada 2023 dan terus meningkat kepada 56,294 pada tahun ini terutama di platform seperti Facebook.

"Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini dan berharap ia mendapat sokongan di Dewan Negara bagi memperkukuh kawalan terhadap penipuan dalam talian.

"Pada masa sama, pentingnya meningkatkan kesedaran masyarakat agar mereka lebih berhati-hati dan tidak mudah menjadi mangsa penipuan," jelasnya.

Katanya, pendidikan mengenai semakan dan pengesahan maklumat menjadi sangat penting untuk melindungi diri.

Selain itu, program seperti 'Klik Dengan Bijak' mendidik masyarakat mengenai penggunaan Internet secara bertanggungjawab.

"Kempen lain oleh JAPEN (Jabatan Penerangan Malaysia) dan J-Kom (Jabatan Komunikasi Komuniti) turut membantu meningkatkan literasi digital dan kesedaran tentang isu seperti penipuan dalam talian serta buli siber," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan adanya usaha kolektif ini masyarakat lebih celik digital dan dapat menghadapi cabaran dunia maya dengan bijak dan selamat.

Hadir sama Pengarah Penyiaran Sarawak, Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak Wan Azhan Wan Hamat dan Pegawai Penerangan Daerah Sibu Zaini Morshidi.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-12-2024 05:23 PM GMT+8 , Processed in 0.136248 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list