Batal kenaikan tambang feri ke Langkawi langkah tepat sokong Tahun Melawat Kedah
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Disember 17, 2024 @ 11:00am [email protected]
Kenaikan tambang secara mendadak berisiko mengecewakan pengunjung dan membahayakan perniagaan tempatan. - Gambar fail
ALOR SETAR: Penarikan balik kenaikan tambang tiket feri Kuala Kedah ke Langkawi untuk tahun depan dianggap langkah tepat bagi membolehkan kempen Tahun Melawat Kedah diteruskan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata langkah itu juga membantu meredakan kebimbangan orang ramai terhadap cadangan kenaikan tambang.
"Kami menggalakkan semua pihak berkepentingan dalam industri pelancongan bekerjasama dengan inisiatif negeri dan menilai dengan teliti kesan lebih luas daripada keputusan mereka.
"Kenaikan tambang, sebagai contoh, boleh menjejaskan usaha promosi Tahun Melawat Kedah 2025. Saya menyokong penuh keputusan mereka untuk menimbang semula isu kenaikan tambang itu," katanya di sini, semalam.
Salleh berkata, hasil perbincangan dilakukan, pihaknya mengakui cabaran dihadapi pengusaha feri termasuk kos lebih tinggi berpunca kenaikan gaji minimum.
Berikutan itu, katanya, melalui perbincangan itu juga pengusaha feri turut memberi maklum balas positif.
"Saya dimaklumkan Menteri Pengangkutan bercadang memperkenalkan subsidi diesel bagi membantu pengusaha menguruskan kos yang semakin meningkat.
"Saya percaya mereka memahami kepentingan perkara ini. Kenaikan tambang akan mengganggu aktiviti promosi kami, jadi saya menggesa mereka mengekalkan kadar semasa dan bekerjasama rapat dengan kami untuk manfaat industri," katanya.
Sebelum ini, Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) mengumumkan kenaikan tambah feri ke Langkawi bermula 1 Januari, bagaimanapun keputusan itu ditarik semula selepas enam jam pengumuman dibuat.
Setakat ini, Mohd Salleh berkata pengusaha feri menunjukkan kerjasama padu dan memberi jaminan bahawa feri lebih kecil akan kembali beroperasi sebaik kerja pengorekan di terminal feri yang dijanjikan Jabatan Laut Malaysia (JLM) siap pada Februari tahun depan.
"Selain itu, untuk acara penting seperti Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25), mereka memberi jaminan kepada kami operasi feri malam," katanya.
Senada dengan itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Kedah/Perlis, Eugene Dass berkata kenaikan tambang secara mendadak berisiko mengecewakan pengunjung dan membahayakan perniagaan tempatan.
"Sektor pelancongan di Kedah memerlukan semua sokongan. Keputusan mendadak seperti ini menghantar isyarat salah kepada pasaran.
"Pelancong mungkin mempersoalkan sama ada tambang naik atau tidak. Buat masa ini, ia meyakinkan bahawa harga kekal tidak berubah untuk pelancong domestik," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1337983/batal-kenaikan-tambang-feri-ke-langkawi-langkah-tepat-sokong-tahun
|