DUN: Shahelmey (kanan) bersama Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (kiri) sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula.
KOTA KINABALU: Kajian kebolehlaksanaan Projek Trans-Borneo Railway dengan kos keseluruhan RM7 juta dijangka dimulakan selewat-lewatnya Disember tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata, projek kajian berkenaan diluluskan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dijangka siap pada penghujung 2025 iaitu selama 12 bulan.
Menurutnya, projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan dan pada masa ini, proses penilaian juruperunding, serta penubuhan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal selesai pada Oktober lepas.
"Kementerian saya dimaklumkan bahawa proses penyediaan Surat Setuju Terima (SST) sedang dilaksanakan," katanya bagi menjawab soalan Datuk Dr Yusof Yacob (Gagasan Rakyat-Sindumin) mengenai perkembangan terkini projek serta kajian kebolehlaksanaan Projek Trans-Borneo Railway yang dihebohkan sejak penghujung 2023.
Shahelmey berkata, kereta api Sabah adalah di bawah kuasa negeri dan perundangan negeri berkaitan kereta api adalah di bawah Enakmen Keretapi 2017 yang digubal semula bagi menggantikan Ordinan Keretapi (Bab 116) dan Enakmen 2017 itu mula berkuat kuasa pada 2 Januari 2018.
"Ini bermaksud, segala perancangan, pengurusan, operasi, penyelenggaraan dan penguatkuasaan adalah diperuntukkan di bawah Enakmen 2017 dan dikuatkuasakan oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah.
"Ini adalah selaras dengan kuasa negeri di bawah Butiran 18, Senarai Negeri iaitu Senarai IIA-Tambahan kepada Senarai Negeri bagi Negeri Sabah dan Sarawak [Perkara 95B(1)(a)] Perlembagaan Persekutuan.
"Penglibatan kerajaan Persekutuan dalam projek kajian ini sememangnya dialu-alukan. Kerajaan negeri turut akan melaksanakan satu kajian khusus iaitu kajian kemungkinan dan reka bentuk awalan pemanjangan landasan kereta api dari Putatan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan seterusnya ke Pelabuhan Sepanggar dengan anggaran kos kajian sebanyak RM1.75 juta," jelasnya.
Beliau berkata, kajian berkenaan akan bermula selewat-lewatnya pada Mac 2025. Sama ada kerajaan Persekutuan atau negeri, ia adalah perancangan jangka panjang untuk membangun, memoden, dan meluaskan rangkaian sistem kereta api di Sabah.
Menurutnya, hasil dapatan daripada kajian ini kelak akan digunakan sebagai asas bagi perancangan program pembangunan baharu, serta sebagai asas bagi pertimbangan permohonan peruntukan bagi pelaksanaan berbentuk fizikal dalam RMK13 dan seterusnya.
"Berkaitan kos keseluruhan RM7 juta sama ada ia cukup atau tidak, itu adalah di bawah pertimbangan Kementerian Pengangkutan yang melaksanakan projek ini.
"Namun demikian, dalam skop kajian secara ringkas yang dimaklumkan kepada saya, ia meliputi tiga skop termasuk, menentukan laluan atau jajaran yang sesuai untuk landasan atau sistem kereta api dengan mengambil kira aspek ekonomi, sosial dan kos.
"Kajian ini juga menentukan keseluruhan infrastruktur yang diperlukan di sepanjang laluan contohnya lintasan rata, jejambat, stesen, dan depoh.
"Ia juga bagi melaksanakan kajian kejuruteraan yang menyeluruh bertujuan memastikan sistem kereta api yang bakal dibina adalah berteknologi moden dan terkini, serta operasinya kelak berdaya maju setanding dengan sistem kereta api lain di seluruh dunia," katanya.
|