ANUGERAH: Karen (tujuh kiri) dan jawatan kuasanya bersama Satinah di majlis anugerah tersebut.
KOTA KINABALU: Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (SWEPA) mencatat satu lagi kejayaan apabila merangkul Anugerah Emas pada majlis ‘Top 50 Professional and Career Women Global Awards 2024’ yang ke-14, baru-baru ini.
SWEPA menang anugerah berkenaan dalam kategori ‘Best Organisation Providing a Platform for Women Entrepreneurs and Professionals’. Majlis penganugerahan yang dianjurkan oleh Women in Management (WIM) Malaysia Chapter itu, berlangsung pada 7 November lepas di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur.
Presiden SWEPA, Karen Wong, bersama Jawatankuasa Eksekutifnya, menerima trofi berkenaan daripada Penasihat WIM Malaysia Chapter, Datuk Satinah Syed.
Turut hadir ialah Sitti Bahaya Damsal, Ophelia Domingo, Betty Epin, Kate Chin, Jennifer Ho, Jenny Lee, Suryani Mohd Saidi, dan Lai Fui Nar.
Karen berkata, pihaknya sangat berbangga dan teruja menerima Anugerah Emas ini kerana ia bukanlah satu pencapaian yang mudah.
“Tanpa sokongan pelbagai pihak sejak penubuhan SWEPA pada tahun 1993, terutamanya mereka yang menubuhkan persatuan ini, kami tidak akan dapat mencapai kejayaan ini.
“Kami sangat berterima kasih kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) kerana mencalonkan SWEPA untuk menerima pengiktirafan ini,” katanya.
Menurutnya, SWEPA berjaya menyerlah daripada 260 pencalonan dari 29 negara dan ia sesuatu yang luar biasa untuk diiktiraf sebagai yang terbaik.
“Semua calon perlu melalui lima pusingan penilaian yang ketat yang diketuai oleh panel terdiri daripada 12 pakar industri.
“Sumbangan SWEPA dalam memperkasakan usahawan dan profesional wanita di Sabah, Malaysia, dan peringkat antarabangsa diiktiraf sebagai contoh teladan,” katanya.
Karen berkata, anugerah berinspirasi ini akan memberi motivasi kepada SWEPA untuk terus maju dan memperkukuhkan hubungan perniagaan serta profesionalnya.
“Kami tidak akan berpuas hati dengan kejayaan ini, tetapi terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam usaha mencipta lebih banyak hubungan global dan mencapai tahap lebih tinggi.
“Pendekatan kami sejajar dengan misi untuk membawa wanita ke barisan hadapan dalam pembangunan sosio-ekonomi,” katanya.
|