Dimuktamad selepas PRU16, beberapa aspek perundangan perlu diteliti sebelum ia dapat dipinda di Dewan Rakyat
Fadillah (barisan hadapan, dua kiri) melihat persembahan silat setibanya di Majlis Perasmian Lan Berambeh Petra Jaya Takaful Masuk Kampung di Dewan Serba Guna Kampung Semariang Batu, Petra Jaya, hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Pelaksanaan pertambahan kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah hanya dimuktamadkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan kerana beberapa aspek perundangan perlu diteliti sebelum ia dapat dipinda di Dewan Rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata buat masa ini, kerajaan juga tidak menetapkan sebarang tempoh pelaksanaan pertambahan kerusi Parlimen bagi kedua-dua negeri Borneo itu.
“Tak sempat (dilaksanakan pada PRU16). Setakat ini kita tidak menetapkan sebarang tempoh bagi pelaksanaan tambahan kerusi itu tetapi kita bagi masa untuk mereka (Jabatan Peguam Negara, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Sarawak) berbincang dari sudut perundangan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Lan Berambeh Petra Jaya Takaful Masuk Kampung di Dewan Serba Guna Kampung Semariang Batu, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata kerajaan akan mendapat pelaporan daripada ketiga-tiga penasihat undang-undang pada suku pertama tahun depan (2025) untuk dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Menurutnya, setakat ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah selesai menjalankan kajian mengenai perkara berkenaan di Sarawak sahaja.
Mengulas lanjut, beliau berkata prosedur daripada SPR terlebih dahulu sebelum diwartakan dan kemudiannya dibawa ke Parlimen untuk meminda perlembagan bagi mendapat keputusan.
"Sudah pasti ia belum sempat untuk (PRU) kali ini," ujarnya sambil menambah, pertambahan kerusi di Parlimen akan menyebabkan perubahan kerusi Dewan Undangan Negeri bagi Sarawak dan Sabah.
Isu tuntutan kerusi Parlimen dibincangkan pada mesyuarat MTPMA63 pada September lepas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kali terakhir berlaku persempadanan semula melibatkan kerusi Parlimen adalah pada 2006, dengan Sabah dan Sarawak kini masing-masing mempunyai 25 dan 31 Ahli Dewan Rakyat iaitu 56 kerusi atau kira-kira 25 peratus daripada 222 kerusi.
|