BINTULU: Seorang lelaki yang merupakan penjual minuman dijumpai mati lemas di Sungai Sebiew di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bintulu berkata pihaknya menerima panggilan daripada ketua masyarakat Kampung Sebiew mengatakan terdapat seorang lelaki dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai lemas di sungai.
"Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati mangsa adalah seorang warga tempatan yang merupakan ahli jawatankuasa surau kampung tersebut dan menjalankan perniagaan minuman," katanya.
Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai semasa mengambil wuduk bagi menunaikan solat Subuh pagi tadi.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.
"Setakat ini, polis mengklasifikasi kes ini sebagai mati mengejut dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan awam," jelasnya.
Nixon menasihati mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Ahmad Amir Youb Bahari di talian 013-5653756 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu (086-318304).
|