https://www.utusan.com.my/sukan/2024/11/nafuzi-risaukan-keadaan-pemain/
ALOR SETAR: “Saya tak fikir tentang Selangor sekarang ini, yang saya fikirkan cuma keadaan mental dan fizikal pemain saya saja sama ada mereka masih ‘okey’ atau tidak untuk bermain dalam perlawanan itu esok. Itu penegasan Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain apabila ditanya mengenai persiapan bagi pertemuan menentang Selangor FC di Stadium Darul Aman, malam esok. Menurut jurulatih terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 itu, apa yang lebih menjadi keutamaannya ketika ini adalah keadaan pemain sendiri yang berdepan situasi sukar berbanding persiapan dilakukan pasukan lawan untuk berdepan mereka. “Kami memang mahu menang dalam setiap perlawanan walau sesukar mana pun keadaannya. Untuk perlawanan kali ini, kita tidak dapat nafikan cabarannya besar berikutan pelbagai faktor termasuk kekuatan dimiliki pasukan lawan. “Namun dalam keadaan sekarang, saya fikir ada perkara lebih penting untuk difikirkan daripada bercakap mengenai perancangan atau cara berdepan Selangor. Apa yang lebih penting ketika ini adalah motivasi buat para pemain bagi menunjukkan kesungguhan untuk berjuang dalam setiap perlawanan. “Orang mungkin tak nampak tetapi sebenarnya banyak masalah yang perlu dihadapi pasukan. Tetapi ada sesuatu yang perlu saya banggakan iaitu pemain berjuang habis-habisan untuk setiap perlawanan walaupun mental dan fizikal mereka dalam keadaan amat sukar,” katanya ketika mengendalikan sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, semalam.
Ketika ini KDA FC masih dibelenggu isu tunggakan gaji yang mencecah tujuh bulan. Nafuzi menambah, kalangan pemain ketika ini hanya memikirkan mengenai kelab hingga sanggup berkorban walaupun dalam keadaan berduka serta susah. “Mereka tetap berkorban sedaya yang termampu untuk memperjuangkan kelab ini. Tetapi sampai bila mereka mampu teruskan, kita tak tahu dan segala yang mereka buat ini sebenarnya sangat luar biasa. “Bagi saya pada masa ini bukan satu keutamaan untuk kita fikirkan siapa yang akan main untuk Selangor, siapa jurulatih mereka dan apa cara permainan mereka kerana di pihak kita, ada perkara lain lebih penting untuk diselesaikan,” katanya. Dalam pada itu penyerang import KDA FC dari Serbia, Milos Gordic mengakui betapa perlawanan itu cukup penting buat Sang Kenari memandangkan Selangor kini boleh dianggap sebagai pasukan kedua terkuat di Malaysia. “Perlawanan ini tidak akan menjadi mudah buat kami tetapi KDA FC bermain di laman sendiri dan kami sudah tentu mahu mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan dilalui di sini. “Semua orang tahu kami berada dalam situasi sukar tetapi kami hingga kini akan terus berjuang untuk pasukan ini. Dalam perlawanan sebelum ini, kami tewas walaupun saya menjaringkan gol dan kali ini, saya harap dapat meneruskan momentum jaringan bagi membantu pasukan mencatat kemenangan di depan penyokong sendiri,” katanya.-UTUSAN
AKSI pemain KDA FC ketika menentang Sabah minggu lalu.- IHSAN KDA FC
|