Georgetown: Sebanyak 11 motosikal musnah dalam kebakaran sebuah garaj di Lengkok Kampung Jawa 2, Bayan Lepas dekat sini, hari ini.
Kebakaran 6.50 pagi itu turut memusnahkan sebuah lori yang diparkir berhampiran garaj berkenaan, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.51 pagi, sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru digerakkan ke lokasi.
"Apabila pasukan bomba tiba, didapati sebuah garaj motosikal yang berkeluasan 9.3 meter persegi terbakar dan api sedang marak. Terdapat 11 motosikal dalam garaj itu.
"Semua motosikal musnah terbakar dan sebuah lori yang terdapat berhampiran garaj itu juga terbakar, komander operasi membuat pemeriksaan dan mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, api dipadamkan sepenuhnya pada 7.30 pagi dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat.
Sebanyak 11 motosikal musnah dalam kebakaran sebuah garaj di Lengkok Kampung Jawa 2, Bayan Lepas dekat sini pada Jumaat. Lori yang terbakar sebanyak 10 peratus berjaya diselamatkan oleh anggota bomba yang bertugas.