KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung mesej ugutan diterima Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkait kes GISB Holdings (GISBH).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku pada jam 8.56 pagi kelmarin ketika Mohd Asri berada di pejabatnya di Bangunan Dato' Mahmud Mat, Kangar, Perlis.
Dalam kejadian itu, beliau berkata, Mohd Asri yang juga dikenali sebagai Maza, menerima beberapa pesanan melalui aplikasi WhatApps daripada satu nombor telefon tidak dikenali.
"Terdapat empat pesanan dihantar berkaitan GISBH bahawa perniagaan milik syarikat itu tidak dapat ditandingi dalam negara.
"Bagaimanapun, beliau (Mohd Asri) tidak mengendahkan mesej itu menyebabkan individu terbabit menghantar mesej berbaur provokasi dan ugutan.
"Beliau (Mohd Asri) percaya pesanan WhatApps itu menunjukkan satu ugutan jenayah kerana maksud kafir harbi (kafir yang boleh diperangi) adalah menghalalkan darah," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, mufti berkenaan membuat laporan di Balai Polis Kangar, kelmarin, untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.
Berita Harian
|