Edited by maklukpenggoda at 12-9-2024 08:05 AM
KUALA LUMPUR: GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) petang semalam tampil menafikan dakwaan bahawa syarikat itu terbabit dalam eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.
Dalam kenyataannya, GISB berkata syarikat itu menafikan segala tuduhan dilemparkan kepadanya sambil menegaskan ia tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti melanggar undang-undang, khususnya membabitkan kanak-kanak sebagai pekerja.
"Pendirian kami amat jelas untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan mendukung aspirasi kerajaan dalam membangunkan negara.
"Kami bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berwajib bagi menyelesaikan isu ini," katanya dalam kenyataan lima perenggan dikeluarkan jam 7 malam tadi.
GISB dipalit kontroversi selepas 20 premis yang dikaitkan dengan syarikat itu sebagai pusat jagaan dan rumah amal kendaliannya diserbu polis awal pagi semalam.
GISB berkata, pihaknya berdoa agar segala fitnah, tohmahan, buruk sangka dan kebencian terhadap syarikat itu dapat dinoktahkan.
"Mudah-mudahan kita semua dapat hidup berkasih sayang, bertolak ansur dan saling membantu dalam membina masyarakat Madani seperti dicita-citakan oleh pimpinan negara yang tercinta ini," katanya.
GISB diasaskan pada 2008
Terdahulu, dalam sidang media di Kuantan, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, berkata operasi GISB bermula selepas Darul Arqam diharamkan dan beberapa pemimpin kanannya ditahan polis pada 1994 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Selepas pengharaman Darul Arqam, katanya, pengikut menubuhkan Rufaqa Corporation disusuli penubuhan GISBH pada 2008 sebagai organisasi perniagaan berasaskan agama dengan doktrinnya masih tarekat Aurad Muhammadiah yang diharamkan.
BH
|