JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ibu kandung seorang bayi lelaki berusia empat minggu menghidap sindrom Down dan menderita komplikasi buah pinggang yang ditinggalkan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Norhafizah Ahmad berkata, bayi lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Athar Jazmi kini bergantung kepada mesin oksigen bagi membantu pernafasan.
Beliau berkata, kali terakhir ibu kandung bayi berkenaan mengunjunginya adalah pada 27 Ogos lalu sebelum menghilangkan diri.
Menurutnya, wanita warga asing berusia 42 tahun dipercayai menghilangkan diri selepas perbuatannya memalsukan dokumen pengenalan diri terbongkar dan dipercayai khuatir dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya, wanita berkenaan dipercayai berasal dari Filipina menggunakan kad pengenalan milik individu lain (warga tempatan) ketika mendaftar anaknya di hospital.
“Kami menerima rujukan daripada Jabatan Kerja Sosial Perubatan, HSI pada 27 Ogos lalu berikutan ibu kandung bayi didapati gagal mendaftarkan kelahiran anaknya selain menggunakan dokumen pengenalan milik individu lain bagi tujuan pendaftaran mendapatkan rawatan.
“Bayi berkenaan memiliki masalah kesihatan yang kronik seperti masalah buah pinggang, kesukaran bernafas selain mengalami sindrom Down.
“Siasatan awal pihak hospital mendapati ibu kandung turut memiliki empat cahaya mata selain masih belum mendaftarkan kelahiran mereka.
“Pihak hospital membuat laporan polis pada 27 Ogos lalu,” katanya menerusi siaran media hari ini.
Norhafizah berkata, ibu kandung dan ahli keluarga bayi itu didapati menghilangkan diri ketika polis ke rumah ibu kandung bayi itu di Flat Tasek, Bandar Seri Alam pada 28 Ogos lalu.
Menurutnya, JKM turut melakukan siasatan ke rumah pada 29 Ogos 2024 dan mendapati rumah terbabit tidak berpenghuni.
“Sehingga kini ibu kandungnya tidak dapat dihubungi dan JKM masih menjalankan usaha mencari wanita itu berikutan kelahiran bayi berkenaan perlu didaftarkan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pelindung JKM Daerah Johor Bahru Jamalluddin Hassan di talian 07-2232606 atau 07-2232607.
BuletinTv3
|