View: 36724|Reply: 0
|
Keselamatan rakyat keutamaan kerajaan – Ahmad Zahid
[Copy link]
|
|
PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam memastikan kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Keselamatan Jalan Raya berkata, keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaannya.
Katanya, walaupun kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia telah menurun, namun kita masih berdepan dengan cabaran besar terutamanya yang melibatkan penunggang motosikal.
“Kerajaan telah mengambil langkah proaktif seperti memperkenalkan anti-lock braking system (ABS) untuk semua jenis motosikal baharu berkapasiti enjin 150cc ke atas, bermula Januari 2025.
“Langkah ini, bersama inisiatif lain seperti penurunan had laju di zon sekolah kepada 30 kilometer per jam dan perluasan Malaysian Motorcycle Assessment Programme (MyMAP) adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko kemalangan dan menyelamatkan nyawa penunggang motosikal di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Jelas Ahmad Zahid, kerajaan juga komited untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan memperluaskan laluan khas bas.
“Kerajaan juga mengambil langkah mengurangkan kenderaan berat di jalan raya untuk memperbaiki aliran trafik dan menjadikan jalan raya lebih selamat untuk pengguna.
“Justeru, saya menyeru kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat awam untuk terus memainkan peranan aktif dalam usaha ini kerana keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE |
|
|
|
|
|
|
| |
|