|
KEADAAN rumah didiami suami isteri warga emas yang rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, Jumaat lalu. FOTO Arkib NSTP
Muar: Jenazah suami isteri warga emas yang rentung dalam kebakaran sebuah rumah dis Kampung Paya Redan, Pagoh, Jumaat lalu akan dikebumikan esok.
Keluarga Allahyarham Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isterinya, Ara Abd Hamid, 76, sudah menerima keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan susulan kedua-duanya rentung hampir 100 peratus.
Menurut anaknya, Manat Mohamed Nor, 44, dia dimaklumkan mengenai keputusan ujian DNA jam 12.30 tengah hari tadi, sebelum bergegas ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk pengesahan.
"Ya. Kami sudah terima keputusan itu (DNA) namun jenazah tidak sempat dikebumikan hari ini kerana masing-masing tinggal jauh.
"Kami akan sempurnakan jenazah ibu dan bapa seawal mungkin pagi esok," katanya ketika dihubungi.
Katanya lagi, jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan lokasi di mana arwah anak saudaranya, Noradriana Nor Hasyim, 11, dikebumikan pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi, tiga beranak itu terkorban dengan Mohamed Nor dan Ara ditemui rentung dalam rumah, sementara Noradriana cedera disyaki dipukul bapa saudara dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF.
Seorang lagi ahli keluarga terbabit, Norazmina Mohd Radhi, 14, terselamat selepas keluar menyelamatkan diri dalam keadaan cedera serta berlumuran darah.
Susulan kejadian itu, polis menahan anak sulung pasangan warga emas berusia 48 tahun pagi semalam, selepas disyaki antara individu yang terbabit dalam kejadian bunuh dan bakar rumah.
Suspek yang sudah direman tujuh hari bermula semalam ditahan ketika merayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur ketika cuba melarikan diri selepas kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, ketika dihubungi mengesahkan mengenai keputusan DNA itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/08/1123039/pasangan-warga-emas-rentung-dalam-kebakaran-dikebumi-esok
|
|