Edited by intan_smsb at 5-8-2024 12:42 PM
Hanoi: Seorang tukang jahit di Vietnam mendakwa, dia tidak pernah tidur selama tiga dekad. Nguyen Ngoc My Kim, 49, mendapat gelaran tukang jahit yang tidak pernah tidur di wilayah asalnya di Long An, barat daya Ho Chi Minh City serta rutin luar biasanya itu menarik orang ramai datang melihatnya menjahit tanpa tidur.
Kim mengakui, kesihatannya tidak terjejas sama sekali walaupun berjaga 24 jam sehari. Katanya, ketahanan luar biasanya itu bukan datang dari kuasa besar atau bekalan kopi Vietnam. "Saya hanya melatih diri saya untuk menghilangkan keperluan tidur sepenuhnya.
"Rutin berjaga ini bermula sejak saya kecil dengan membaca buku dan komik dan apabila saya dewasa, saya mula berjaga sepanjang malam untuk menjahit bagi memenuhi tempahan pelanggan," katanya seperti dilaporkan The Sun.
Kim berkata, dia mengusahakan kedai jahitan pakaiannya sendiri sejak 1994, namun mengakui kekurangan tidur menyebabkannya pernah kemalangan. "Kekurangan tidur pada mulanya menyebabkan saya pening sehingga saya terjatuh dan tidak sedarkan diri semasa menjahit serta melakukan banyak kesilapan selain pernah kemalangan jalan raya.
"Tetapi selepas berjaga selama beberapa bulan atau bertahun-tahun, mata dan badan saya terbiasa tidak tidur. Sejak itu, saya tidak boleh tidur lagi," katanya kepada Vietnam Net.
Katanya, kini dia berjaga dan tidak tidur selama tiga dekad. "Saya tidak faham kenapa orang begitu terkejut dengan rutin saya. "Saya tidak tidur selama 30 tahun, tetapi kesihatan saya masih normal, otak saya berjaga-jaga, mata saya cerah, walaupun sedikit kuning. "Saya tidak melihat kekurangan tidur saya sebagai luar biasa atau pelik," katanya.
sumber |