Panorama TV, televisyen internet baharu dilancar
Dua dari kiri Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Digistar Corporation Berhad, Tan Sri Zaini Omar pada pelancaran Panorama TV. - Foto NSTP/Muhammad Azhar Shahrulnizam
KUALA LUMPUR: Panorama TV, perkhidmatan televisyen internet terbaharu yang dijangka dapat mengubah pengalaman menonton televisyen dalam kalangan rakyat Malaysia dilancarkan hari ini.
Panorama TV telah berkolaborasi dengan rakan kongsi dari Jakarta, Indonesia dengan menawarkan pelbagai kandungan yang menarik, memenuhi keperluan populasi di seluruh nusantara.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, berkata melalui perkongsian itu, ciri budaya yang serupa dan serumpun, menjadikan kandungan itu popular dan boleh diterima khalayak Malaysia.
"Panorama TV turut mengutamakan rancangan kesihatan dengan menawarkan tiga saluran kesihatan yang berkongsi nasihat berkaitan gaya hidup sihat.
"Ini dapat menjadi wadah kepada penonton untuk memula atau meneruskan gaya hidup sihat, selari dengan kesedaran awam yang semakin baik mengenai kesihatan," katanya mewakili Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merasmikan pelancaran Panorama TV hari ini.
Beliau yakin Panorama TV akan merujuk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia yang diterajui Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) untuk memastikan standard kandungan yang tinggi selaras dengan amalan terbaik antarabangsa dan tempatan.
"Peranti 'top box' atau dekoder daripada Panaroma TV ini telah diperakui oleh SIRIM QAS International selaku agensi perakuan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
"Saya mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan penjualan sebarang peranti set 'top box' atau dekoder Android termasuk yang didakwa mempunyai perakuan SIRIM tetapi ditawarkan dengan aplikasi penstriman yang boleh mengakses kandungan penyiaran yang dilindungi hak cipta tanpa melalui penyedia perkhidmatan penyiaran secara sah," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Digistar Corporation Berhad, Tan Sri Zaini Omar, berkata dalam tempoh beberapa bulan lalu, beliau telah menerima maklum balas yang positif terhadap kestabilan yang ditawarkan oleh teknologi Panorama TV.
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel pula berkata, dengan pelancaran Panorama TV, industri perhotelan akan dapat mempertingkatkan saluran hiburan dan maklumat Malaysia setanding dengan standard dunia.
Pelancaran Panorama TV juga dijangka dapat membantu Malaysia mengurangkan penggunaan 'set-up box' haram. Secara tidak langsung ia akan meningkatkan hasil kerajaan melalui kutipan cukai.
Untuk maklumat lanjut
https://panoramatvasia.com/
|