|
Menjelang PRK Nenggiri, hotel di Gua Musang habis ditempah
https://www.bharian.com.my/berit ... sang-habis-ditempah
Oleh Paya Linda Yahya - Julai 8, 2024 @ 12:27pm
[email protected]

Gua Musang bakal menjadi tumpuan menjelang PRK Nenggiri pada 17 Ogos nanti. NSTP/Paya Linda Yahya
GUA MUSANG: Pengusaha hotel di sekitar bandar ini menerima tempahan tinggi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang diadakan pada 17 Ogos ini.
Tinjauan mendapati bukan hanya hotel sudah penuh ditempah, malah rumah inap juga menerima permintaan tinggi sempena PRK Nenggiri.
Pemilik Hotel Goa Inn, Noorhayati Mat Ali, 40, berkata hotelnya mula menerima tempahan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung PRK itu pada 28 Jun lalu.
Katanya, walaupun memiliki dua hotel dengan jumlah keseluruhan 51 bilik, ia masih tidak mampu menampung permintaan tinggi diterima sepanjang PRK nanti.
"Saya ada dua hotel di Bandar Baru Gua Musang dan semua bilik sudah habis ditempah sempena PRK Nenggiri.
"Saya mula menerima tempahan dan pertanyaan daripada pelanggan selepas pengumuman tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
"Alhamdulillah, ini rezeki kami penduduk di sini, apabila ramai datang ke Gua Musang sempena PRK membuatkan tempahan hotel banyak sudah penuh," katanya.
SPR menetapkan hari pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.
PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian BERSATU apabila menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.
Noorhayati berkata, dia tidak menaikkan harga bilik hotel sepanjang PRK, namun harga bilik bergantung kepada cara bayaran dibuat pelanggan.
"Sekiranya bayaran dibuat secara tunai, harga bilik seperti biasa bermula RM100 hingga RM250 bergantung kepada jenis bilik.
"Untuk kedua-dua hotel saya, semua bilik sudah habis ditempah bagi tempoh 2 hingga 22 Ogos," katanya yang lebih 10 tahun mengusahakan hotel di daerah ini.
Bagi pengusaha rumah tumpangan di Bandar Utama Gua Musang, Saliza Sulaiman, 32, rumah tumpangannya juga sudah ditempah hampir sebulan lalu.
"Rezeki saya apabila ada yang menempah rumah tumpangan saya usahakan menjelang PRK Nenggiri pada 17 Ogos nanti," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|