View: 4494|Reply: 0
|
[Johor]
Dua lelaki cabul, rogol remaja diarah bela diri
[Copy link]
|
|
MUHAMED Shahidan (kanan) dan Muhammad Haziq diarah membela diri atas pertuduhan rogol dan amang seksual remaja bawah umur, dua tahun lalu. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini mengarahkan dua rakan membela diri atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol dua remaja bawah umur di sebuah hotel, dua tahun lalu.
Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu kerana berpuas hati terhadap pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir apabila berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Muhamed Shahidan Esa, 26, dan Muhammad Haziq Mohamad Ngarip, 33.
Dalam prosiding di akhir pendakwaan, Abu Bakar berkata, keputusan mengarahkan kedua-dua tertuduh membela diri dibuat selepas mahkamah mendapati keterangan mangsa boleh dipercayai.
"Seterusnya berdasarkan keterangan saksi-saksi penting selain mangsa, serta keterangan sokongan pengadu yang juga bapa mangsa selain pegawai penyiasat kes ini, mahkamah berpuas hati wujudnya prima facie.
"Justeru, pada peringkat ini, mahkamah sewajarnya mengarahkan kedua-dua tertuduh untuk membela diri," katanya.
Mahkamah memberi tiga pilihan terhadap kedua-dua tertuduh sama ada akuan bersumpah dari kandang saksi, akuan tidak bersumpah atau memilih untuk berdiam diri.
Namun, peguam kedua-dua tertuduh, Iqhmar Syafiq Azmi, Syed AmirulSyed Idrus dan Ahmad Nadzli Rizal memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya akan memilih akuan bersumpah dari kandang saksi.
Mengikut pertuduhan, Muhamed Shahidan yang juga tertuduh pertama berhadapan empat pertuduhan masing-masing dua kes mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 (a) dan (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Manakala, Muhammad Haziq pula berhadapan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) AKKSTKK 2017.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Muhamed Shahidan yang juga penghantar barang didakwa merogol dan melakukan amang seksual terhadap remaja berusia 14 tahun (ketika itu) di sebuah hotel, di sini, pada 11 malam, 4 Julai 2022.
Manakala pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi mangsa yang juga berusia 14 tahun, pada 11.30 malam di lokasi dan tarikh sama.
Muhammad Haziq pula didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 14 tahun dengan semua kejadian, tarikh dan masa berlaku di tempat sama.
Mahkamah kemudian menetapkan 9 hingga 11 September ini untuk kedua-dua tertuduh membela diri.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ja-diarah-bela-diri |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|