|
FRATTESI (kanan) cuba melepasi pemain pertahanan Bosnia-Herzegovina, Ermin Bicakcic (dua dari kanan) pada perlawanan persahabatan awal pagi tadi. FOTO AFP
Empoli: Itali mengatasi Bosnia 1-0, awal pagi tadi menerusi jaringan menarik pemain tengah, Davide Frattesi pada babak pertama perlawanan pemanas badan terakhir menjelang Kejohanan Eropah di Jerman, minggu depan.
Jelas, ia satu lagi prestasi mengecewakan dipamerkan Itali yang berada di depan pada minit ke-38 menerusi jaringan menarik Frattesi hasil hantaran lintang Federico Chiesa.
"Masih ada ruang untuk peningkatan. Jika kami mahu bersedia, kami perlu menambah lagi sesuatu dan kami akan mencapainya," kata Frattesi.
"Kami mencipta banyak peluang, tetapi kami perlu menguruskannya dengan betul kerana kami akan mendapat jumlah terhad di peringkat kumpulan Euro 2024 nanti. Bagaimanapun, kami nampak perkara yang bagus."
Itali yang tampil selaku juara bertahan Euro diundi dalam Kumpulan B yang dianggap kumpulan maut kerana bakal berdepan juara tiga kali, Sepanyol selain Croatia dan Albania.
Ia satu lagi prestasi menarik daripada Frattesi yang muncul penjaring terbanyak kepada Azzurri sejak penampilan sulung pada Jun 2022 apabila meledak lima gol dalam 15 perlawanan.
Bagaimanapun, keputusan itu menyebabkan pengurus, Luciano Spalletti perlu melakukan lebih banyak kerja berikutan ketumpulan penyudah termasuk penyerang, Gianluca Scamacca melepaskan beberapa peluang di depan gol.
Malah, mereka nyaris dibolosi pada minit awal sebelum penjaga gol, Gianluigi Donnarumma bertindak cemerlang menepis keluar bola tolakan pemain tengah Bosnia, Haris Hajradinovic.
Penjaga gol Itali itu sekali lagi cemerlang menyelamatkan gawangnya pada minit ke-18 apabila Bosnia yang berada di ranking ke-74 dunia dan gagal ke Euro 2024, memiliki peluang menerusi tandukan Jusuf Gazibegovic.
"Kami melakukan apa yang sepatutnya," kata Spalletti.
"Kami yakin memiliki pasukan yang bagus, cuma kami perlu merasai suasana pada perlawanan di kejohanan sebenar nanti.
"Kami menurunkan dua pasukan yang berbeza secara keseluruhannya untuk melihat bagaimana mereka bermain kerana sekurang-kurangnya boleh memberitahu pemain apa yang perlu dipertingkatkan. Kami tiada banyak masa."
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -itali-benam-bosnia |
|