|
Pelakon dan pengacara terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim, 46, menyifatkan statusnya sebagai isteri kepada kerabat diraja bukan 'tiket' untuk dirinya tidak lagi aktif sebagai wanita berkerjaya dalam bidang seni.
Sarimah berkata, sebagai anak sulung daripada empat beradik, beliau juga sebelum ini sudah terbiasa bekerja dan berdikari mencari kewangan sendiri kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada ibu bapa.
"Walaupun saya anak perempuan tunggal dalam keluarga yang mempunyai tiga adik lelaki, namun sebagai kakak yang sulung, sudah pasti saya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada adik-beradik lain, terutama perlunya berdikari sendiri.
"Malah, apabila saya bertemu jodoh dengan suami yang juga kerabat diraja, masih tiada apa yang berubah dalam karier kerana saya sendiri memang suka bekerja dan tidak boleh duduk diam saja walaupun suami saya mampu menanggung segalanya.
"Apatah lagi, bagi saya antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai isteri serta ibu itu perlu dipisahkan sebaiknya. Jadi, apa-apa yang saya buat untuk kerjaya adalah tanggungan sendiri," katanya kepada Harian Metro.
Pelakon watak Sharifah Qaidah dalam drama Lelaki Itu di TV3 ini berkata, cukuplah suaminya, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar menjadi ketua keluarga dan menyara keperluan keluarga kecil mereka.
"Setiap duit yang saya dapat apabila bekerja, ia dilaburkan semula kepada apa saja yang saya inginkan seperti membeli rumah sendiri, termasuk menyertai kelas lakonan bersama tenaga pengajar dari luar negara, Gerry Grennell.
"Saya bayar Gerry dengan wang dikumpul sendiri. Begitu juga apabila mahu beli hadiah hari jadi untuk suami contohnya, saya tak akan beli guna duit daripada suami dan kemudian hadiahkan kepadanya semula. Saya lebih rasa puas hati dengan membeli guna wang sendiri," katanya.
Menurut Sarimah, apa yang pasti beliau gembira dan bersyukur kerana suaminya sangat memahami dan menyokong apa saja yang mahu dilakukannya asalkan tahu menjaga batas pergaulan dalam bekerja.
"ada pendapat saya sendiri juga, seseorang wanita itu tidak seharusnya mengambil kesempatan dalam perkahwinan apabila bertemu jodoh dengan orang kaya.
"Ini hanya pendapat saya saja dan kita juga seharusnya perlu membuang stigma seperti apabila berkahwin dengan orang kaya, maka boleh duduk rumah goyang kaki, termasuk fokus pergi bercuti ke mana saja," katanya.
Terdahulu, Sarimah bertemu jodoh dengan suaminya, Tunku Nadzimuddin iaitu cucunda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-10 pada 2 April 2015.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Tunku Sofia Najihah, 4.
Sumber : Harian Metro
|
|