View: 3192|Reply: 0
|
[Johor]
Sindiket dadah antarabangsa tumpas, 14 individu ditahan
[Copy link]
|
|
KHAW Kok Chin (tiga kiri) ketika sidang media berkaitan sindiket pengedaran dadah antarabangsa bernilai RM 11.6 juta dan harta sitaan bernilai RM1.2 juta dalam sidang media di IPK Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Johor Bahru: Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM11.6 juta dan menahan 14 individu termasuk dalang utama.
Ia hasil tujuh serbuan yang dilakukan serentak bermula 3.40 petang hingga 8.30 malam di daerah ini, Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, rampasan 198.54 kilogram (kg) dadah tu adalah rampasan terbesar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, tahun ini dengan dadah berkenaan boleh digunakan kira-kira 1.24 juta penagih dadah.
Beliau berkata, serbuan dilakukan di kondominium mewah dan kediaman komuniti berpagar dan berpengawal di sekitar bandar raya ini, Iskandar Puteri dan Seri Alam.
"Dalam operasi ini seramai 14 suspek membabitkan dua lelaki tempatan, enam lelaki dan enam wanita warga asing berusia antara 22 hingga 52 tahun berjaya ditahan, termasuk dalang utama yang berusia 49 tahun.
"Lima suspek warga asing yang ditahan turut berada dalam senarai dikehendaki di negara asal dengan rekod lampau membabitkan kes dadah, jenayah dan imigresen, manakala seorang warga tempatan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
"Kesemua suspek ditahan dipercayai terbabit dengan aktiviti memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah membabitkan serbuk dan pil ekstasi, syabu, ketamin, pil Eramin 5, serbuk MDMA selain bahan kimia untuk memproses dadah.
"Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menyewa kondominium mewah dan kediaman komuniti berpagar dan berpengawal untuk dijadikan sebagai makmal mini bagi memproses dan membungkus dadah sebelum diedarkan ke pasaran negara jiran," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Dato' Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
Terdahulu, Khaw turut menunjukkan rampasan alat memproses dan pembungkusan dadah selain bungkusan termasuk jus minuman, vape serta pelbagai pil tahan sakit yang dipercayai mengandungi dadah.
Menurutnya, sejumlah harta benda bernilai RM1.17 juta disita menerusi serbuan berkenaan, merangkumi lima kenderaan mewah, 11 jam tangan mewah termasuk Rolex, wang tunai berjumlah RM204,069, Dolar Singapura berjumlah $22,970 dan pelbagai barangan kemas.
"Hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan sudah beroperasi sejak Januari lalu.
"Kesemua 14 suspek kini direman tujuh hari bermula Khamis lalu hingga Rabu ini bagi disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... 14-individu-ditahan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|