CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 12633|Reply: 0

Ketua Pertahanan AS dan China dijadual adakan perbincangan di Singapura

[Copy link]
Post time 30-5-2024 04:43 AM | Show all posts |Read mode




SINGAPURA: Ketua Pertahanan Amerika Syarikat (AS) dan China dijadual akan mengadakan perbincangan langsung yang jarang berlaku di Singapura hujung minggu ini, sekaligus memberi harapan untuk dialog tentera yang bertujuan untuk mencegah pertikaian daripada berterusan di luar kawalan.


Pertemuan yang dijangka antara Lloyd Austin dari Amerika Syarikat dan Dong Jun dari China pada Dialog Shangri-La akan menjadi rundingan bersemuka substantif pertama antara ketua pertahanan negara dalam tempoh 18 bulan.


Forum keselamatan itu ialah perhimpunan tahunan ketua pertahanan dari seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi pengukur hubungan AS-China.


Edisi tahun ini akan bermula Jumaat, iaitu seminggu selepas China mengadakan latihan ketenteraan di sekitar Taiwan dan memberi amaran mengenai perang ke atas pulau itu.


Pertikaian mengenai Taiwan yang demokratik dan disokong AS, yang diikrarkan oleh China untuk dibawa ke bawah kawalannya, adalah profil tertinggi dalam banyak perselisihan antara kuasa global.


Beijing juga berang dengan hubungan pertahanan Washington yang semakin erat di Asia-Pasifik, khususnya dengan Filipina.


China dalam beberapa tahun kebelakangan ini menjadi semakin tegas dalam mempertaruhkan tuntutannya di Laut China Selatan yang dipertikaikan, termasuk dengan membina pulau buatan dan memiliterkannya.


Ia secara berkesan menangguhkan rundingan ketenteraan dengan Amerika Syarikat pada akhir 2022 sebagai tindak balas kepada lawatan Speaker Dewan Rakyat AS ketika itu Nancy Pelosi ke Taiwan.


Kedua-dua pihak bersetuju selepas sidang kemuncak antara pemimpin China, Xi Jinping dan Presiden AS, Joe Biden pada November tahun lalu untuk memulakan semula rundingan ketenteraan peringkat tinggi.


Austin dan Dong kemudian bercakap melalui telefon pada bulan April.


Pertemuan mereka di Singapura diumumkan oleh Pentagon minggu lalu dan akan menjadi pertemuan paling penting mengenai pertahanan sejak sidang kemuncak presiden.


Bagaimanapun, kedua-dua pihak masih belum meneruskan semula banyak dialog ketenteraan yang dibatalkan selepas lawatan Pelosi ke Taiwan.


"Harapan di sini adalah supaya pertemuan (Dong-Austin) menjadi permulaan perhubungan yang berhati-hati bagi mewujudkan semula komunikasi terbuka tentera-ke-tentera," Penganalisis Kanan Hal Ehwal Antarabangsa dengan Perundingan Solaris Strategies Singapore, Mustafa Izzuddin memberitahu AFP.


Biden dan Xi bersetuju pada sidang kemuncak mereka untuk menubuhkan saluran komunikasi antara Ketua Komando Indo-Pasifik AS dan komander China yang bertanggungjawab bagi operasi ketenteraan berhampiran Taiwan, Jepun dan di Laut China Selatan.


Seorang pegawai AS baru-baru ini menekankan kepentingan rundingan langsung antara komander berkenaan.


Izzuddin menyifatkan dialog seperti itu sebagai "penting".


"Ia sangat penting kerana apabila kita bercakap mengenai apa yang berlaku di Laut China Selatan dan Taiwan, ia pada asasnya mengenai pertahanan dan keselamatan," katanya. - AFP


Sumber : Berita Harian
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 06:36 AM GMT+8 , Processed in 0.145950 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list