|
Maryam yang mengalami kecacatan di mata sebelah kiri menunjukkan slip SPM dengan keputusan 8A yang diperolehinya kepada ibu dan bapanya. FOTO Aizat Sharif
Padang Besar: Kecacatan mata kiri sejak kecil bukan buat Maryam Zaheerah Abdullah, 18, untuk memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023 yang diumum, hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Kaki Bukit, di sini, menyifatkan usahanya dalam mengatasi segala cabaran selama ini ternyata berbaloi.
"Saya mengalami kecacatan kornea mata kiri yang mengecil sejak dilahirkan dan perkembangan itu secara langsung menyebabkan mata kiri saya buta serta bergantung pada mata kanan sepenuhnya.
"Namun begitu, saya tidak mahu jadi alasan untuk tidak boleh belajar bersungguh-sungguh kerana walaupun sebagai orang kurang upaya (OKU) sekali pun, pelajaran adalah penting.
"Di atas keterbatasan, saya menyesuaikan diri dengan terus belajar supaya sentiasa konsisten dengan pencapaian dalam akademik," katanya ketika ditemui di Kampung Sena Dalam, Kok Mak, Titi Tinggi, di sini.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia juga tinggal di asrama kerana tidak mahu membebankan ibunya berulang alik menjemputnya dari sekolah.
"Apabila tinggal di asrama, saya dapat menumpukan perhatian sepenuhnya dengan mengulang kaji pelajaran pada waktu malam sehingga awal pagi.
"Namun, saya senang belajar bersendirian dan akan membantu rakan apabila mereka berdepan masalah dengan subjek tertentu.
"Kami juga sentiasa menyokong dan membantu dengan bertukar-tukar nota untuk mentelaah pelajaran," katanya.
Anak bongsu kepada pasangan Abdullah Abdul Rahman, 65, dan Zuridah Abdullah, 55, berkata, dia bercita-cita menjadi peguam, namun mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang maritim.
"Emak saya penoreh getah manakala bapa saya bekas anggota tentera yang kini lumpuh akibat sakit saraf atau 'Parkinson', jadi inilah cara saya untuk balas kembali pengorbanan mereka.
"Malah, diharapkan saya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... balas-jasa-ibu-bapa |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|