KEPALA BATAS: Koperasi Kariah Masjid Ar Rahman (KoArRahman) di Permatang Rambai, di sini, merangka beberapa inisiatif bagi membantu meningkatkan pendapatan anak-anak kariah kawasan itu melalui aktiviti perniagaan.
Antara inisiatif itu ialah Larian Amal KoArRahman (LAKARun) bertujuan mengumpul dana memulakan perniagaan koperasi, sekali gus merangsang penyertaan kariah dalam kegiatan ekonomi.
Pengarah program itu, Zahir Jamaludin, berkata ia membabitkan larian merentasi sawah padi sejauh lima kilometer (km) bermula dan berakhir di pekarangan masjid.
Beliau memaklumkan program LAKARun dirancang sejak lima bulan lalu, dan peserta berpeluang menerima hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM5,000 dengan hadiah utama berupa basikal lipat bernilai RM700.
"Lebih 300 peserta berusia tujuh hingga 70 tahun mengambil bahagian dalam acara ini
"Aktiviti ini sekali gus dapat memupuk gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan dalam kalangan jemaah masjid, ahli koperasi serta penduduk setempat," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Seberang Perai Utara, Syahrul Aidil Mohamad Tajuddin, bersama Pengerusi KoArRahman, Datuk Mohd Ghazali Hashim, menyempurnakan pelepasan peserta larian amal itu.
Sementara itu Ahli Jawatankuasa Publisiti KoArRahman, Noraini Tahir, berkata koperasi berkenaan turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah agensi pelancongan yang juga mempunyai perniagaan lain seperti kedai runcit, dobi serta pembuatan roti dan pastri.
Beliau sekali gus berharap KoArRahman dapat berkolaborasi dengan pihak lain lagi serta terus mendapat bimbingan dan bantuan daripada SKM.
"Ia seiring misi SKM untuk meningkatkan pembabitan koperasi dalam pelbagai sektor ekonomi serta membangunkan modal insan yang kompeten dan berdaya keusahawanan," katanya.