SUNGAI PETANI - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman tiga anggota penguat kuasa dari dua agensi kerajaan yang berbeza selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM36,000 bagi melindungi kegiatan rumah urut di negeri ini.
Menurut sumber, semua suspek telah ditahan pada Selasa antara jam 8 hingga 12 tengah malam ketika hadir untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM cawangan Sungai Petani.
Salah seorang suspek dibawa ke Mahkamah Masjistret Sungai Petani untuk mendapatkan perintah reman.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Januari tahun lalu dan menerima bayaran secara bulanan yang mencecah sehingga kira-kira RM6,000 bagi melindungi pekerja rumah urut yang tidak mempunyai permit kerja yang sah.
“Siasatan dipergiatkan dan tidak menolak kemungkinan terdapat dalang lain yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.