View: 6125|Reply: 0
|
[Terengganu]
Pok Him cabar diri atasi fobia terhadap ular
[Copy link]
|
|
Safiq menemani Pok Him untuk menyentuh ular tedung selar. FOTO NAZDY HARUN
Marang: Takut dan geli. Itu antara sifat semula jadi kebanyakan manusia terhadap haiwan berbisa terhadap ular apatah lagi sebahagian daripadanya memiliki bisa yang mampu membunuh.
Berlainan pula dengan warga emas dari Wakaf Tapai di sini, yang cuba mencabar dirinya dengan mendekati spesies berkenaan bagi melawan perasaan takut melampau terhadap reptilia terbabit yang dipanggil 'ophidiophobia'.
Gelagat spontan dan bersahaja Ibrahim Salleh, 71, yang kelam kabut dan mudah cemas apabila reptilia berbisa itu 'menghampirinya' bukan sahaja mencuri tumpuan tetapi turut menerima pujian setiap kali videonya dimuat naik di media sosial oleh Squad King Cobra (SKC) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurut Pok Him, sebelum ini dia bukan sahaja tidak boleh memegang reptilia itu tetapi tidak mampu menghampiri dan menjadi orang pertama melarikan diri jika berdepan dengan apa juga spesies ular.
Katanya, pembabitannya bersama SKC bermula apabila seorang rakannya berdepan dengan reptilia itu ketika memancing di kawasan ladang sawit pada 2021.
"Pok Him bukannya berani tetapi ketika itu kawan minta tolong dan saya hubungi Safiq Mohamad yang juga Ketua Jurulatih SKC untuk bantuan.
"Bermula daripada situ, timbul keinginan untuk lawan rasa takut menyebabkan Pok Him turut serta turun ke lapangan bersama SKC sekiranya mereka menerima panggilan untuk menangkap reptilia itu.
"Pada peringkat awal, memang tak berani langsung untuk dekat tetapi dengan dorongan Safiq dan ahli SKC, Pok Him dapat keberanian untuk memegang ular yang tidak berbisa dan bersaiz kecil selepas hampir empat tahun mengikuti SKC," kata bapa kepada lima anak itu.
Sementara itu, Safiq yang juga Pegawai Bomba Kanan ll di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur berbangga, apabila Pok Him sudah mampu mengatasi ketakutannya terhadap reptilia itu.
"Pok Him mempunyai ketakutan dan kegelian yang melampau terhadap spesies ular dan memang ambil masa untuk melatihnya menjadi seperti sekarang.
"Dulu bukan sahaja tak boleh nak sentuh, nak dekat pun dia tak boleh tapi saya puji semangat yang ditunjukkannya apabila dia akan cuba mencari masa untuk menyertai pasukan kami menangkap ular sekiranya menerima panggilan daripada orang awam.
"Walaupun masih ada rasa takut tetapi itu normal kerana memang sifat semula jadi kita takut pada reptilia ini namun Pok Him berjaya membuktikan orang yang takut terhadap ular tidak semestinya tidak boleh diajar dan dilatih," katanya.
Safiq berkata, dia ada memuat naik video Pok Him apabila bersama reptilia itu dengan tujuan mahu memberi semangat kepada masyarakat di luar sana untuk melawan rasa takut terhadap ular.
"Tak sangka gelagat Pok Him jadi tumpuan dan boleh dikatakan dia kini sudah menjadi sebahagian daripada kami dan kehadirannya menceriakan suasana," katanya.
Menurut Safiq, kombinasi Pok Him bersama SKC dilihat menghidupkan watak selain memecah kesunyian setiap kali mereka menghasilkan konten yang kemudiannya dimuat naik ke YouTube dan Tik Tok.
"Kami bukan mahu menggunakan Pok Him untuk konten semata-mata kerana pembabitannya adalah secara sukarela untuk belajar dan Alhamdullillah, tiada kejadian buruk berlaku sepanjang dia bersama SKC," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... fobia-terhadap-ular |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|