|
Anthony Loke (dua, kiri) melihat pameran di reruai pada majlis Ulang Tahun Hari ke-78 di Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jalan Tiang Dua dekat Ayer Molek, Melaka hari ini. — foto BERNAMA
MELAKA: Pasukan petugas khas dianggotai Unit Integriti Kementerian Pengangkutan (MOT) sudah menyiapkan siasatan berhubung dakwaan kelemahan tadbir urus di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan pendaftaran nombor plat klasik kenderaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata menerusi siasatan beberapa kelemahan dikenal pasti untuk ditambah baik supaya sistem pendaftaran itu benar-benar telus dan terperinci.
"Saya difahamkan Ketua Pengarah (JPJ) sedang menyiapkan laporan penuh sebelum diserahkan kepada Ketua Setiausaha MOT untuk dinilai.
"Setakat ini memang ada kelemahan yang kita kenal pasti untuk diperbaiki di peringkat kementerian atau ibu pejabat serta negeri. Nombor-nombor itu (plat kenderaan) diperoleh mengikut kaedah sedia ada dan tidak menjadi kesalahan.
"Tapi kaedah itu perlu diperketatkan supaya nombor klasik kenderaan ini tidak terlalu mudah didaftarkan dan perkara ini perlu diangkat untuk pertimbangan peringkat kementerian," katanya selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78 di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, di Tiang Dua, hari ini.
Hadir sama timbalannya, Hasbi Habibollah; Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha dan Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Shariff.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, kawalan pendaftaran plat klasik kenderaan perlu diperketat bagi mengelak masalah pada masa depan termasuk pendaftaran bertindih.
"Kadang-kala apabila sesuatu nombor klasik itu didaftarkan kita fikir ia bukan milik sesiapa, tetapi pemilik asal datang balik tuntut nombor itu dan ini menimbulkan keraguan terhadap sistem JPJ.
"Itu yang kita tak nak, ...itu yang kita kata ada kelemahan dari segi sistem pendaftaran itu yang perlu dipastikan sebab nombor-nombor klasik ini dulu tak ada dalam sistem komputer, mySIKAP kerana didaftar pada tahun 50-an, 60-an, dan sistem pendaftaran nombor plat hanya bermula mungkin tahun 80-an.
"Nombor-nombor klasik ini jika kereta itu sudah tak ada, pendaftaran itu sudah mati (dilucuthakkan), kita boleh guna untuk daftarkan nombor itu tetapi kena pastikan sebaiknya," katanya.
APAD semak e-hailing sistem bidaan
Sementara itu, ditanya mengenai aplikasi e-hailing menggunakan sistem bidaan yang semakin menjadi pilihan ketika ini, beliau berkata, pihaknya akan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyemak perkara itu.
"Tidak (e-hailing sistem bidaan) itu saya rasa sesuatu yang APAD akan lihat perkara ini sebab memang kita tidak dimaklumkan lagi.
"Saya akan minta APAD untuk lihat perkara itu, setakat ini memang tak ada apa-apa yang kita benarkan lagi," katanya.
Melalui aplikasi itu, pemandu e-hailing aplikasi boleh meletakkan harga sendiri bagi satu jarak perjalanan sebelum dibida pelanggan sekiranya kadar tambang itu dipersetujui.
Penggunaan sistem itu menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan pengguna perkhidmatan awam apabila sesetengahnya berpendapat ia memaksa penumpang membayar harga lebih tinggi dan lebih menguntungkan pemandu.
|
|