|
Penyerang Manchester City, Erling Haaland meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Nottingham Forest di The City Ground, Nottingham. - Foto REUTERS
MANCHESTER: Erling Haaland menggesa Manchester City supaya melupakan cabaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris daripada Arsenal bagi mengelak tekanan.
Penyerang Norway itu meledak gol kedua Man City dalam kemenangan 2-0 ke atas Nottingham Forest selepas masuk sebagai pemain gantian, dan juara bertahan itu mampu menjuarai liga buat kali keempat berturut-turut jika memenangi baki empat perlawanan musim ini.
Dengan bapanya, Alfie menonton dari tempat duduk pengarah, Haaland menjaringkan gol liga ke-21nya musim ini dan mendahului senarai penjaring.
"Saya rasa perkara paling penting ialah tidak memikirkannya, terutama di saat begini.
"Jika anda memikirkannya berlebihan, boleh jadi gila, jadi bertenang, nikmatinya dan tumpukan pada perlawanan seterusnya," kata Haaland.
City turun tanpa Phil Foden dan Ruben Dias yang tidak sihat, manakala John Stones serta Haaland bermula di bangku simpanan.
Selepas beraksi di Brighton tiga hari sebelum itu, skuad kendalian Pep Guardiola dilihat kurang bertenaga dan pengendali dari Catalan itu percaya tiada ruang untuk melakukan kesilapan, dengan Arsenal hanya satu mata di depan tetapi bermain lebih satu perlawanan.
"Saya tidak rasa Arsenal akan tercicir mata lagi. Ia sama seperti apa yang berlaku kepada Liverpool sebelum ini.
"Kami mempunyai empat perlawanan berbaki dan ia seperti mendaki gunung tinggi. Jika kami seri satu perlawanan, kami tidak akan memenangi liga. Persembahan di sini tidak cukup bagus," kata Guardiola.
Forest kekal satu mata di atas zon penyingkiran dan dua daripada tiga perlawanan terakhir mereka adalah menentang Sheffield United - yang sudah tersingkir - dan Burnley yang menghuni tangga ke-19. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... ang-arsenal-haaland |
|