KOTA BHARU: Sebanyak 188,000 liter petrol dibekalkan kepada 13 stesen minyak di negeri ini khusus di lokasi tumpuan termasuk laluan perantau pada musim perayaan Aidilfitri.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, berkata bahan bakar itu mula dibekalkan 4 April lalu diikuti dua hari sebelum Aidilfitri serta kelmarin.
"Sebanyak 17,800 liter petrol RON95 dan 10,000 liter RON97 dibekalkan sepanjang tempoh musim perayaan menerusi pasukan 'task force' yang ditubuhkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tiga belas stesen minyak itu terletak di Kuala Krai, Pasir Puteh, Jeli, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Mas dan Rantau Panjang.
Azman berkata, berlaku sedikit kelewatan urusan menghantar bekalan di sebuah stesen minyak di Jeli kelmarin berikutan kesesakan jalan raya yang sangat teruk.
Menurutnya bagaimanapun bekalan tetap petrol sebanyak 76,000 liter tiba dengan selamat di premis terbabit walau waktu mencecah hampir tengah malam.
"Jam 5.45 petang kelmarin, pasukan 'task force' kami mengiringi tiga lori tanker yang membawa 76,000 liter RON95 dan RON97 dari Besut, Terengganu.
"Disebabkan kesesakan jalan raya yang agak teruk, perjalanannya sedikit memakan masa dan jam 11.15 malam, bekalan petrol tiba dengan selamat di stesen minyak di Jeli.
"Secara keseluruhan, setiap kali musim perayaan, bekalan bahan api sentiasa mencukupi terutama di lokasi laluan perantau serta yang mengalami kesesakan dan setakat ini tiada masalah besar yang timbul," katanya.