Edited by maklukpenggoda at 18-12-2024 12:06 PM
PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah melaksanakan sekatan perjalanan ke atas 203,123 individu dan syarikat setakat 30 November lalu.
LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia membabitkan 175,656 individu yang mempunyai tunggakan di bawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan 12,205 individu yang mempunyai tunggakan cukai di bawah Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976.
Menurut Seksyen 104 dan 75A ACP 1967, dan Seksyen 22 ACKHT 1976, LHDN diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan Malaysia, jika mereka atau syarikat mereka mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan.
Sekatan perjalanan merupakan tindakan terakhir yang boleh dikenakan sekiranya pembayar cukai masih lagi gagal membuat bayaran terhadap baki cukai yang tertunggak (individu dan syarikat) selepas pelbagai peringatan dan notis telah diberikan, menurut kenyataan itu.
LHDN menjelaskan tindakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap mana-mana pihak bukan bertujuan menafikan hak mereka, tetapi ia adalah usaha untuk menguatkuasakan undang-undang percukaian sedia ada kepada pembayar cukai yang gagal melunaskan tunggakan cukai.
Oleh itu, LHDN menasihatkan supaya pembayar cukai perlu sentiasa peka melaksanakan tanggungjawab mereka setiap masa dan tidak menangguhkan penyelesaikan hal-hal percukaian bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa hadapan.
BH
|