View: 8920|Reply: 0
|
[Pahang]
Peritnya sambut raya tanpa bekalan air
[Copy link]
|
|
PENDUDUK Kampung Sungai Putat hanya basuh muka dengan air yang ada kerana tidak menerima bekalan air sejak beberapa hari lalu. FOTO Roselan Ab Malek
Jerantut: Kemeriahan sambutan Aidilfitri di beberapa kampung, di sini, bertukar suram apabila gangguan bekalan air masih belum pulih.
Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan persiapan antaranya memasak juadah untuk tetamu turut terjejas.
Suri rumah, Wana Shahudin, 39, berkata penyediaan makanan memerlukan sumber air bersih menyebabkan persiapan terbantut apabila berdepan gangguan bekalan air.
"Lebih malang apabila anak-anak dan adik-beradik pulang untuk menyambut Aidilfitri berasa kecewa akibat gangguan bekalan air di kampung halaman.
"Malah, kami terpaksa ke Bandar Jerantut untuk membasuh baju di dobi dan membeli air mineral untuk kegunaan minuman dan memasak," katanya.
Menurutnya, masalah gangguan bekalan air juga menyebabkan pinggan mangkuk, cawan dan periuk tidak dapat dibasuh sehingga berbau busuk.
Katanya, keadaan bertambah buruk apabila Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Jerantut didakwa tidak menghantar bekalan air.
Bapa lima anak, Mat Zin Awang, 53, tindakan Paip yang menghantar air sehari sebelum Aidilfitri dan kemudian menghantar semula empat hari selepas itu amat dikesali.
Menurutnya, bekalan air yang dihantar pada 2 pagi ketika penduduk sudah tidur selain tidak mencukupi untuk keperluan 120 keluarga di Kampung Sungai Putat, di sini.
"Keadaan itu menyebabkan kami menyambut Hari Raya Aidilfitri secara ala kadar berikutan gangguan bekalan air sejak seminggu lalu.
"Rata-rata penduduk tidak dapat menyediakan juadah raya kerana bekalan air yang disimpan hanya mencukupi untuk keperluan penting sahaja," katanya.
Katanya, dia berharap pihak berkaitan dapat menangani masalah bekalan air yang kerap terputus di kawasan berkenaan dan mencari jalan penyelesaian.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, pengurusan Paip memaklumkan masalah berlaku akibat bekalan elektrik terputus di Loji Rawatan Air (LRA) Padang Piol.
Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan simpanan air di dalam tangki utama menjadi kosong kerana penggunaan berterusan dan tidak dapat dipenuhkan semula kerana bekalan elektrik terputus selain kerosakan pada pam.
"Saya sudah meminta pihak Paip agar menghantar tangki statik dan lori tangki bagi membekalkan air ke kawasan yang terjejas.
"Kerja baik pulih sudah siap, tetapi berlaku paip air pecah selepas pam utama di LRA Padang Piol beroperasi menyebabkan air tidak dapat disalurkan ke tangki utama sebelum diagihkan kepada pengguna," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... a-tanpa-bekalan-air |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|