Edited by maklukpenggoda at 12-4-2024 11:21 AM
KUALA LUMPUR: Lelaki Israel, Shalom Avitan yang dikawal ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, sebentar tadi untuk didakwa mengikut Akta Senjata Api.
Konvoi kira-kira enam kenderaan polis diiringi dua motosikal berkuasa tinggi polis trafik membawa suspek berusia 38 tahun, tiba di perkarangan kompleks mahkamah pada jam 8.09 pagi, sebelum dibawa turun dari trak polis seterusnya masuk ke bangunan mahkamah pada jam 8.11 pagi.
Suspek yang dilihat memakai kemeja T tidak berkolar warna hitam, berseluar kargo hijau khaki dan memakai pelitup muka hitam diiringi lebih 15 anggota polis serta pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) lengkap dengan uniform taktikal dan bersenjata api.
Turut kelihatan hadir di mahkamah, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menjadi tumpuan petugas media bagi membuat liputan pertuduhan yang dijalankan ke atas lelaki warga Israel terbabit.
Seawal jam 7 pagi tadi, kira-kira 30 petugas media mula berkumpul di lobi bangunan mahkamah bagi membuat liputan pertuduhan ke atas Shalom yang dijangka berlangsung pada jam 9 pagi.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan terhadap lelaki Israel itu selesai dijalankan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).
|