CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 622|Reply: 0

[Kelantan] Aidilfitri: 'Demi tugas kepada negara, semua itu terpaksa dilupakan'

[Copy link]
Post time 10-4-2024 05:16 PM | Show all posts |Read mode
Aidilfitri: 'Demi tugas kepada negara, semua itu terpaksa dilupakan'

OlehHAZELEN LIANA KAMARUDIN

10 April 2024 05:00pm




Anggota Maritim Malaysia Kelantan meraikan Aidilfitri di lautan biru demi menjaga keamanan negara.




PASIR PUTEH - Mendengar takbir raya bergema di tengah lautan biru semasa Hari Raya Aidilfitri membuatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Muhammad Shahrul Rizal Zamri, 36, teringat-ingat dan merindui air tangan ibunya untuk dijamah pada 1 Syawal.

Mana tidaknya, ini merupakan tahun kelima anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu tidak pulang berhari raya bersama keluarga tercinta.


Muhammad Shahrul Rizal






"Biasanya pada 1 Syawal ibu akan masak burasak dan coto makassar. Ini merupakan makanan kegemaran saya.

"Tetapi apakan daya demi tugas kepada negara, semua itu terpaksa dilupakan," katanya yang merupakan anak sulung daripada lima beradik.


Muhammad Shahrul Rizal (kiri) bersama rakan-rakannya bersiap sedia mendengar arahan ketua untuk bertugas sepanjang Aidilfitri.






Lebih memilukan hati apabila Aidilfitri tahun ini beliau tidak dapat berada di sisi isteri yang dijangka bersalin anak kedua pada awal Syawal.

Muhammad Shahrul Rizal memberitahu, dia hanya mampu menitipkan doa buat isteri tercinta yang berada di Pasir Mas kerana sepanjang musim perayaan ini beliau terpaksa berlayar demi menjaga keselamatan negara.



Mohamad Norazlee




Bagi Ketua Jurutera Maritim Malaysia Kelantan, Mohamad Norazlee Ekhwan, 48, beraya di atas kapal merupakan rutin baginya dan ahli keluarga terutama isteri serta empat anaknya di Johor sudah memahami.


Anggota Maritim Malaysia Kelantan tetap melaungkan takbir raya walaupun meraikannya di tengah lautan biru.




"Bila dikenangkan memang sedih tetapi apakan daya ini tuntutan kerja.

"Untuk mengubat kerinduan dari jauh saya dan anggota yang lain akan memakai baju Melayu setiap kali 1 Syawal.

"Kami di atas kapal juga akan menikmati juadah raya seperti nasi impit kuah kacang, lemang dan sebagainya. Semua ini dimasak bersama-sama bagi menghilangkan rasa sedih dan menceriakan sambutan hari raya di perantauan," katanya.


Haziq Aiman (kiri) berkongsi pengalamannya, selain kerinduan terhadap keluarga, mereka yang bertugas di lautan perlu berdepan dengan cabaran mabuk laut serta cepat dahaga kerana berpuasa di sini tidak sama seperti di daratan







Sementara itu anggota navigasi, Haziq Aiman Abdul Aziz, 26, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan pula walaupun masih bujang tetapi hati tetap meronta-ronta untuk menyambut raya bersama keluarga.

Namun katanya, rakan-rakan setugas sepanjang pelayaran banyak membantunya menghilangkan rasa sedih setiap kali perlu bertugas di Aidilfitri.


Haziq Aiman (kiri) tetap komited menjalankan tugas sepanjang Aidilfitri.




Ujar beliau, beraya dengan keluarga dan rakan-rakan sangat berbeza tetapi bagi mengubati hati pelbagai cara yang dilakukan antaranya mereka pernah terjun ke dalam laut dengan berpakaian lengkap baju Melayu.

"Setakat ini hati masih kental. Selain kerinduan terhadap keluarga, kami yang bertugas di lautan perlu berdepan dengan cabaran mabuk laut serta cepat dahaga kerana berpuasa di sini tidak sama seperti di daratan," katanya.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-12-2024 05:37 PM GMT+8 , Processed in 0.153371 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list