CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8936|Reply: 0

[Kedah] Kucing 'berdesup' balik apabila Haznan 'seru'

  [Copy link]
Post time 27-3-2024 12:45 AM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 27-3-2024 12:48 AM

Kucing 'berdesup' balik apabila Haznan 'seru'


Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my



(kiri) Tangkap layar video memaparkan kucing milik Abd Haznan berlari pulang ke rumah apabila dipanggil. (kanan) ABD Haznan bersama kucing kesayangannya. FOTO Ihsan Abd Haznan Abd Aziz




Yan: "Ada yang mungkin tak suka, anggap kucing beban dan segelintirnya takut tapi untuk saya, nak duduk 24 jam dengan kucing pun okay saja," kata pencinta kucing, Abd Haznan Abd Aziz.

Abd Haznan, 31, dari Kampung Titi Bakong menyayangi kucing hingga menganggap dirinya seperti 'bibik' dan haiwan itu majikannya.

Kini, Abd Haznan memelihara 16 kucing dengan setiap satunya diberi nama panggilan.

Menariknya, kucing peliharaannya mengenali suara Abd Haznan dan seperti 'mendengar kata' kerana akan berlari ke arahnya selepas dipanggil walaupun daripada jauh.

Kisah itu mendapat perhatian selepas Abd Haznan memuat naik satu video memanggil nama kucing peliharaannya untuk pulang ke rumah.

Bercerita lanjut, Abd Haznan berkata, kucing peliharaannya bukanlah setiap masa mengikut arahannya tetapi kebiasaannya boleh mendengar kata kerana sudah dilatih sejak kecil.

"Sejak kecil, saya sudah biasa sembang dengan kucing peliharaan jadi lama kelamaan ia faham dan boleh dengar kata walaupun bukan 24 jam begitu.

"Ada kalanya degil juga tapi kebiasaannya okay kerana saya sudah latih.

"Saya biasa guna ayat yang sama kalau nak sesuatu contohnya 'balik' untuk panggil pulang, 'mai makan' ketika suruh makan dan duduk jadi dengar saja suara saya semua (kucing) sudah tahu," katanya ketika dihubungi.

Meskipun ada komitmen kerja sebagai juruteknik di sebuah kilang besi, Abd Haznan akan memastikan kebajikan kucing peliharaannya tidak terabai.

"Hari bekerja, seawal jam 5.30 pagi saya sudah bangun untuk bersiap kemudian buang najis dan sediakan makan juga minumnya.

"Selepas saya pergi kerja, emak akan lepaskan kucing ke luar rumah dan sebaik pulang dari tempat kerja kira-kira jam 7 malam, saya akan panggil kucing untuk balik.

"Kemudian, uruskan dan ajak kucing bermain sebelum masukkan dalam sangkar pada sebelah malam.

"Begitulah rutin harian saya dan membelanjakan kira-kira RM1,500 sebulan untuk membeli makan serta keperluan kucing. Setakat ini, rezeki yang ada cukup kerana ada buat kerja lain juga dengan upah menjual barang di TikTok dan berniaga untuk tampung kos bulanan," katanya.

Abd Haznan berkata, terlalu banyak kenangan terpahat dalam ingatannya sejak memelihara kucing secara serius dua tahun lalu.

"Salah satu yang tak dapat saya lupakan adalah kenangan diselamatkan kucing daripada dipatuk ular kapak.

"Kejadian berlaku beberapa tahun lalu ketika saya 'bergayut' telefon di luar rumah dan waktu bersembang, saya dengar suara kucing mendengus serta mencakar kaki saya.

"Bila ditoleh ke bawah, saya lihat ada seekor ular kapak di depan jadi perlahan-lahan saya berundur dan mujurlah sempat selamatkan diri.

"Daripada situ, saya sedar kucing sangat berguna kerana bukan hanya dapat hiburkan saya ketika sunyi malah jadi penyelamat dalam bahaya," katanya.

Selagi ada kudrat, Abd Haznan mahu terus memelihara kucing kerana tidak boleh berpisah dengan haiwan yang sudah menjadi sebahagian hidupnya itu.

"Alhamdulillah, keluarga faham minat saya malah mereka pun sayangkan kucing.

"Jadi kalau boleh, saya nak jaga sampai akhir hayat saya malah walau sudah berpindah ke rumah lain dan berkahwin akan bawa bersama kucing itu.

"Kebetulan, calon isteri pun suka kucing jadi kami akan sama-sama jaga nanti kerana buat masa ini, emak bantu waktu saya bekerja," katanya yang menerima reaksi bercampur baur sejak aktif berkongsi video kucing peliharaannya di TikTok kira-kira enam bulan lalu.



Disiarkan pada: Mac 26, 2024 @ 8:02pm






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 07:25 PM GMT+8 , Processed in 0.060041 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list