CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3782|Reply: 0

[Sarawak] OSTPC sedang kesan ibu bayi yang diletakkan dalam 'baby hatch' BMC

[Copy link]
Post time 26-3-2024 06:19 AM | Show all posts |Read mode


Gambar menunjukkan pusat perlindungan bayi atau 'baby hatch' di Borneo Medical Centre Kuching. – Gambar Sam Chua

KUCHING: Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) sedang mengesan ibu kandung kepada seorang bayi perempuan yang diletakkan dalam pusat perlindungan bayi atau 'baby hatch' di Borneo Medical Centre Kuching (BMC) di sini pada 24 Mac 2024.

Pengerusi OSTPC Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bayi berkenaan diletakkan di situ sekitar jam 5.50 pagi Ahad dan penilaian awal oleh pakar pediatrik hospital tersebut mendapati bayi berada dalam keadaan sihat, stabil dan tidak menunjukkan sebarang unsur penderaan atau masalah kesihatan.

Menurut Fatimah, turut ditinggalkan bersama bayi tersebut adalah nota dalam bahasa Inggeris yang antara lainnya menyatakan ‘ibu meninggalkan saya di sini untuk kehidupan yang lebih baik dan dia berhadapan masalah kewangan sekarang dan perlu menjaga abang saya’.

“Bagi pihak OSTPC Sarawak, saya merayu kepada ibu kandung bayi yang diselamatkan untuk berjumpa terus dengan saya atau mana-mana pelindung kanak-kanak di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak secara peribadi dan secara rahsia demi kepentingan bayi tersebut.

“Kami menjamin kerahsiaan ini, anda boleh menghubungi saya secara perseorangan di talian +60138063635 supaya urusan mendaftar bayi ini dapat dilakukan dengan sebaik mungkin berdasarkan status kewarganegaraan ibunya,” ujar Fatimah pada sidang media di BMC di sini, hari ini.


(Dari kiri) Colliner, Fatimah dan Dr Kenneth Tan semasa sidang media.

Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti turut memberi jaminan bahawa ibu kandung berkenaan tidak perlu bimbang sekiranya tampil ke hadapan kerana perbuatan meletakkan bayi di pusat perlindungan bayi bukanlah satu kesalahan.

“Ibu kandung barangkali takut berhadapan kemungkinan didakwa di mahkamah sekiranya tampil ke hadapan kerana telah meletakkan bayi ini di pusat perlindungan bayi.

“Kita sudahpun bertanya kepada PDRM dan telah diberi jaminan bahawa berdasarkan kepada laporan pihak hospital, sekiranya tiada unsur penderaan terhadap bayi dan bayi tidak diletakkan di tempat berbahaya malah diletakkan di tempat selamat, ibunya tidak akan didakwa,” katanya.

Jelasnya, pencarian ibu kandung bayi tersebut adalah penting agar kelahiran bayi dapat didaftarkan dengan status kewarganegaraan Malaysia sekiranya ibu kandung merupakan orang tempatan.

”Jika tidak, maka status bayi tidak dapat ditentukan atau tidak mempunyai kewarganegaraan. Manakala sekiranya bayi mempunyai status kewarganegaraan Malaysia, maka lebih mudah untuk pasangan yang layak untuk mengangkat anak tersebut.

”Bagaimanapun, jika bayi tersebut tidak mempunyai kewarganegaraan Malaysia, maka proses pengangkatan menjadi lebih rumit.

”Keluarga yang berhasrat untuk mengangkat (bayi tersebut) perlu ke mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan dan perisyitiharaan anak pelihara selama dua tahun terlebih dahulu,” jelas Fatimah.

Beliau menambah, sekiranya ibu kandung kepada bayi yang diselamatkan tampil untuk membantu bagi mendapatkan sijil lahir, maka anak tersebut boleh diangkat di hadapan Pegawai Daerah Kuching kepada keluarga yang dipilih atau dipersetujui oleh ibu kandung sendiri.

Menurutnya juga, terdapat jangka masa selama sebulan diberikan kepada ibu kandung tampil ke hadapan sekiranya dia memutuskan untuk mengubah fikiran ataupun mahu mengambil semula bayi itu.

“Apabila tempoh itu tamat dan sekiranya ibu kandung tidak tampil, maka kita akan teruskan dengan proses berikutnya,” jelas beliau.

Fatimah dalam pada itu menyatakan pusat perlindungan bayi adalah sangat penting sekali gus merakamkan penghargaan kepada BMC Kuching atas jasa menyelamatkan bayi melalui pusat yang disediakan.

”Ini adalah bayi pertama yang diselamatkan melalui fasiliti pusat perlindungan bayi BMC mengikut SOP yang telah ditetapkan. Bagi pihak OSTPC Sarawak, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kakitangan dan pengurusan BMC Kuching,” katanya.

Untuk rekod, BMC menyediakan tempat yang selamat untuk bayi (pusat perlindungan bayi) sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi menyokong sistem sokongan sosial dalam komuniti agar pembuangan bayi di tempat-tempat tidak selamat dan tidak sepatutnya dapat dikurangkan.

Kawasan pusat perlindungan bayi tersebut adalah tersembunyi, tiada pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) dan menerusinya, identiti ibu bapa bayi tidak akan diketahui.

Ia merupakan cara yang lebih baik dan selamat untuk ibu dan bayi, selain membolehkan bayi menerima penjagaan, rawatan dan perhatian perubatan yang sewajarnya.

Hadir sama, pemangku Setiausaha Tetap Colliner Gohe dan Pengurus Besar BMC Dr Kenneth Tan.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 01:31 PM GMT+8 , Processed in 0.058753 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list