|
CHOO bersama Akma Batrisya (kiri) dan Siti Aisyah melihat peti ais yang dipasang di bilik sewa di Dataran Segar. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Port Dickson: Kisah meruntun jiwa seorang pelajar yang perlu menguruskan ibunya sebelum ke sekolah menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lukut, Choo Ken Hwa yang mengadakan lawatan ke kediaman pelajar itu di sini, hari ini.
Lawatan itu diadakan selepas kisah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Jumaat, Akma Batrisya Nor Rosseli, 17, terpaksa mengurus ibunya, Siti Aisyah Abdullah Ampook, 46, yang tidak sihat kerana tekanan perasaan disiarkan media semalam.
Choo berkata, sebaik membaca berita pelajar itu yang cekal belajar dan perlu menjaga ibunya, beliau terpanggil melihat keadaan dua beranak berkenaan sambil menyampaikan sumbangan peribadi.
"Sebaik melihat keadaan mereka yang menyewa sebuah bilik di rumah kedai di Dataran Segar, Lukut, saya nampak betapa sukarnya pelajar ini bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini dalam keadaan serba kekurangan," katanya ketika ditemui.
Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Raja Jumaat, Hishamudin Abd Manap dan guru sekolah.
Katanya, selain sumbangan wang tunai, beliau turut mendapatkan sebuah peti ais untuk memudahkan mereka menyimpan makanan dan kipas angin.
"Berdasarkan maklumat guru, pelajar ini ada potensi untuk berjaya dalam pelajaran walaupun hidup dalam kesempitan dan saya berharap pihak sekolah terutama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memantau perkembangan pelajar ini dari semasa ke semasa.
"Saya juga akan memaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengenai bentuk bantuan kepada pelajar dan ibunya dalam masa terdekat," katanya.
Choo berkata, beliau berharap Akma Batrisya berjaya dalam SPM dan dapat mengubah hidup sambil menjaga ibunya yang tidak mampu bekerja.
"Bukan mudah bagi pelajar perempuan berdikari dan dalam masa yang sama perlu menyediakan makanan untuk ibunya yang bergantung kepada ubat penenang akibat tekanan hidup.
"Cuma saya nampak, dia perlu belajar dengan tekun agar satu hari nanti dapat mengubah kehidupan yang semakin mencabar di masa akan datang," katanya.
Sementara itu, Akma Batrisya berterima kasih kepada Choo, guru dan sekolah yang amat prihatin dengan nasibnya.
"Saya amat terharu apabila wakil rakyat bukan saja memberi bantuan wang tunai tetapi turut menyumbang peti ais dan kipas angin untuk kemudahan kami.
"Lepas ini, dapatlah saya dan ibu simpan makanan di dalam peti ais, selalunya jika ada lebihan makanan, kami terpaksa buang.
"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk orang ramai selepas kisah saya tersiar dalam akhbar tempatan semalam," katanya.
Semalam media melaporkan Akma Batrisya perlu urus makanan dan ubat untuk ibu sebelum ke sekolah hingga mendapat perhatian orang ramai dan pemimpin setempat.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-sabar-menjaga-ibu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|