CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 17427|Reply: 0

[Sarawak] Penghapusan skim pencen mendapat pelbagai reaksi

[Copy link]
Post time 19-3-2024 08:36 PM | Show all posts |Read mode
Ada yang terima baik, ada yang beranggapan akan mengakibatkan generasi muda hilang minat terhadap sektor awam



(Dari kiri) Sebastian, Nur Farahiin dan Mindy.

“Namun apabila kerajaan mengumumkan tiada pencen untuk semua rekrut baharu perkhidmatan awam negeri tahun ini, saya percaya orang muda seperti saya ini akan memilih kerjaya di sektor swasta yang menawarkan gaji tinggi dan kemudahan yang sama dengan penjawat awam.”

Nazatulsyima
Pelajar IPT

Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Pengumuman untuk tiada lagi memperkenalkan skim pencen buat penjawat awam baharu Sarawak mulai tahun ini, sebaliknya mencarum menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapat pelbagai reaksi masyarakat setempat.

Ada dalam kalangan mereka menerima baik keputusan Kerajaan Sarawak itu manakala sebahagian lagi beranggapan ia akan mengakibatkan generasi muda hilang minat terhadap sektor perkhidmatan awam kerana tiadanya pencen yang memberi jaminan selepas persaraan mereka.

Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Nazatulsyima, 22, percaya ramai anak-anak muda tertarik untuk bekerja dalam sektor awam kerana terpikat dengan skim persaraan yang ditawarkan.

“Namun apabila kerajaan mengumumkan tiada pencen untuk semua rekrut baharu perkhidmatan awam negeri tahun ini, saya percaya orang muda seperti saya ini akan memilih kerjaya di sektor swasta yang menawarkan gaji tinggi dan kemudahan yang sama dengan penjawat awam.

“Harap kerajaan pertimbangkan semula keputusan ini biarpun ia dilaksanakan dengan niat yang baik,” katanya kepada Utusan Borneo hari ini.

Bagi Sebastian Meliba, 23, pelajar jurusan perladangan dan agroteknologi, dia sejak dahulu memang berminat untuk berkerja di sektor swasta.

“Ini kerana bagi saya, sektor swasta menawarkan gaji yang lebih tinggi berbanding penjawat awam.

“Tambahan pula, dengan tiadanya pencen untuk semua lantikan baharu penjawat awam Sarawak bermula tahun ini, faedah atau kemudahan yang disediakan sektor swasta lebih kurang sama seperti sektor perkhidmatan awam,” ujarnya.

Berlainan pula bagi Nur Farahiin Mansor, 24, pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, dia berpendapat langkah kerajaan itu merupakan usaha yang baik.

“Walaupun semua lantikan baharu penjawat awam Sarawak tidak akan menerima pencen bulanan daripada kerajaan selepas bersara, namun mereka tetap menikmati semua kelebihan yang dinikmati oleh penjawat awam skim pencen termasuk perubatan, pinjaman perumahan dan sebagainya.

“Jadi, saya fikir ini tidak akan menjejaskan minat orang ramai khususnya belia untuk bekerja dengan sektor awam cuma ia bukan lagi menjadi pilihan utama untuk mereka kelak,” katanya.

Apatah lagi kata Nur Farahiin, bekerja dalam sektor swasta bukan sahaja menawarkan gaji yang lebih tinggi tapi turut menyediakan banyak ruang untuk meningkatkan potensi diri selain memperoleh pengalaman yang lebih luas.

Manakala Mindy Velarie Casily, 24, pelajar jurusan komunikasi strategik di sini berkata, bekerja dalam sektor awam masih menjadi pilihannya.

“Ini kerana walaupun sudah tidak lagi ada skim pencen namun bekerja di bawah sektor kerajaan amat menjamin masa depan.

“Paling penting, kita mudah untuk membuat pinjaman seperti membeli rumah, kereta dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, menurut laporan media pada 14 Mac lalu, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, semua rekrut baharu untuk perkhidmatan awam negeri akan dilakukan di bawah skim Sumbangan Manfaat Bersama (JBC) mulai tahun ini.

Beliau menyifatkan langkah strategik itu sebagai cara baharu melakukan sesuatu yang bertujuan memodenkan perkhidmatan awam Sarawak.

JBC katanya, memberikan lebih fleksibiliti kepada kakitangan awam yang ingin mengejar kerjaya di tempat lain dan juga menggalakkan lebih ramai individu muda dan profesional untuk berkhidmat di Kerajaan Sarawak.

“Jika kita melihat skim pencen di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kakitangan awam tidak akan menerima apa-apa jika mereka ingin meninggalkan perkhidmatan awam sebelum mencapai usia persaraan.

“Kadang-kadang ini (skim) menempatkan mereka dalam situasi yang sukar, terutama apabila mereka mendapat tawaran yang lebih baik daripada sektor korporat.

“Mereka perlu mengorbankan skim pencen mereka jika ingin berpindah ke sektor korporat untuk kemajuan kerjaya yang lebih baik,” katanya.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 09:48 AM GMT+8 , Processed in 0.053501 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list