TEMERLOH - Peniaga di bazar Ramadan Bukit Desa Semantan di sini menyifatkan jumlah kehadiran pengunjung pada hari pertama puasa sedikit perlahan pada tahun ini berbanding tahun lepas.
Seorang peniaga sup gearbox, Ab Rahman Md, 58, berkata, suasana lebih meriah pada hari pertama tahun sebelumnya.
Ab Rahman bersama sup gearbox yang dijualnya.
"Sebagai peniaga kena hadapi situasi ini dan macam saya sendiri memilih untuk terus kekalkan harga macam gearbox saya, RM25 hingga RM27 satu ikut saiz," jelasnya.
Hafiza
Seorang peniaga minuman, Hafiza Hafizuddin, 34, turut mengakui kehadiran pengunjung tidak semeriah dulu pada hari pertama puasa.
"Banyak faktor, dengan persiapan ibu bapa untuk persekolahan anak mereka, banyak pakai duit menyebabkan mereka tidak dapat berbelanja seperti dulu.
"Memang nampak ketara perbezaannya berbanding tahun lepas," katanya sudah dua tahun meniaga di bazar tersebut.
Ujarnya, tahun ini dia terpaksa menjual dengan harga RM4 sebungkus berbanding RM3 pada tahun lalu.
Zamrul
Sementara itu, bagi seorang pengunjung, Zamrul Amir Tosin, 52, menyifatkan harga yang ditawarkan masih kekal seperti dulu.
"Cuma saya nampak ada kuih yang dijual pada saiz lebih kecil," tambahnya.
Amir
Seorang lagi pengunjung, Amir Ashraf,18 turut berpuas hati kerana tiada kenaikan harga berlaku.
"Banyak saya tengok harga tetap kekal macam tahun lepas," ujarnya.