GEORGETOWN: Lelaki warga Singapura yang hilang sejak empat hari lalu, ditemukan maut bersama kereta dipandunya dalam cerun setinggi 45 meter di kawasan bukit Jalan Paya Terubong menuju Relau, di sini, hari ini.
Mayat mangsa dikenali sebagai Chew Wei Fung, 29, ditemukan pada jarak kira-kira empat meter dari kenderaannya.
Rakan mangsa berkata, Wei Fung kali terakhir dikesan ketika dalam perjalanan pulang ke Relau sebelum tengah malam Jumaat lalu.
Ketika itu, mangsa dikatakan berbual melalui akaun WeChat bersama rakan sebelum tiba-tiba membisu.
Sementara itu, Pegawai Operasi Zon Daerah Timur Laut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Muzzamer Mohd Salleh berkata, mangsa ketika ditemui sudah meninggal dunia dan berdasarkan keadaannya dipercayai lelaki itu terbabit kemalangan sejak beberapa hari lalu.
"Pasukan penyelamat membantu mengangkat mangsa ke tebing sebelum mayat diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk tindakan lanjut.
"Terdapat banyak kecederaan pada badan mangsa dan mungkin dia terpelanting atau keluar sendiri daripada kenderaannya selepas kereta itu terjunam ke cerun.
"Mayat ditemukan orang awam sebelum mereka menghubungi talian kecemasan," katanya.