|
Tiga lelaki warganegara Syria ditahan semasa sedang bekerja di beberapa buah premis di sebuah pusat beli-belah di Kota Bharu. - Foto IHSAN JIM KELANTAN
KOTA BHARU – Tiga lelaki warganegara Syria sedang bekerja di beberapa premis di sebuah pusat beli-belah di bandar ini merupakan antara 19 warga asing yang dicekup dalam Ops Sapu/Kutip dijalankan selama dua hari bermula kelmarin hingga semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan, Mohd. Faizal Shamsudin berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan semasa anggota penguat kuasa menjalankan operasi di pusat beli-belah berkenaan.
Menurutnya, kesemua 19 warga asing itu diberkas kira-kira pukul 8 pagi kelmarin sehingga 4 pagi semalam dalam operasi di sekitar bandar Kota Bharu dan Machang.
“Warga asing yang ditahan melibatkan masing-masing seorang lelaki warga Myanmar, Bangladesh, Mesir, kanak-kanak Kemboja termasuk dua wanita dan kanak-kanak perempuan warga Kemboja.
“Selain itu, tiga lelaki lelaki warganegara Syria dan masing-masing empat lelaki Kemboja dan Pakistan turut diberkas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Faizal memberitahu, kesemua warga asing itu berada di premis di pusat beli-belah di sini, kedai runcit, beberapa buah rumah pekerja ladang di Temangan, Machang dan rumah teres di daerah tersebut.
Menurutnya, lingkungan usia bagi warga asing dewasa yang ditahan dianggarkan antara 19 hingga 55 tahun manakala kanak-kanak pula bermula 7 hingga 12 tahun.
“Kesemua warga asing itu dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
“JIM Kelantan menggesa orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat mengenai pendatang asing tanpa izin atau sebarang aktiviti melibatkan warga asing yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Tambah Mohd. Faizal, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) akta sama dan Peraturan 39 (b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/03 ... i-pusat-beli-belah/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|