|
Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan beg berwarna kuning yang diisi sebanyak 18,000 biji pil kuda pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!
KOTA BHARU – Cubaan seorang penganggur untuk mengedar sebanyak 20,000 pil kuda yang bernilai RM115,500 gagal selepas dia dicekup semasa berada di depan Kompleks Kota Darul Naim, di sini kelmarin.
Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semasa motosikal jenis Honda Future yang dia tunggang berhenti di pekarangan parkir Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek cuba untuk melarikan diri semasa anggota polis menghampirinya, namun dia kemudiannya berjaya diberkas.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam beg berwarna kuning dibawa suspek menjumpai sebanyak 18,000 pil kuda dengan anggaran berat 2.1 kilogram yang bernilai RM115,000.
“Hasil soal siasat terhadap suspek telah membawa pihak polis untuk membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Bunohan, Tumpat pada hari yang sama.
“Pemeriksaan di dalam rumah itu menjumpai kotak yang mengandungi 2,000 biji pil kuda seberat 227.4 gram yang dianggarkan bernilai RM22,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, nilai keseluruhan rampasan 20,000 biji pil kuda di kedua-dua lokasi itu termasuk sebuah motosikal yang ditunggang suspek dianggarkan berjumlah RM137,500.
Menurutnya, kesemua dadah itu boleh diedarkan kepada seramai 20,000 orang penagih jika ia terlepas ke pasaran.
Tambahnya, suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/03 ... depan-suk-kelantan/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|