CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6587|Reply: 0

[Sarawak] STA komited galak amalan mampan, pengurusan sumber bertanggungjawab: Lau

[Copy link]
Post time 6-3-2024 08:18 PM | Show all posts |Read mode


Lau (depan, dua kanan) bersama Hamden (depan, dua kiri), Pengerusi WWF Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar (depan, kiri) serta yang lain melakukan simbolik pelancaran Modul Latihan Pemuliharaan Bernilai Tinggi sempena Persidangan Antarabangsa Pengurusan Mampan Hutan Tropika di Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) terus komited untuk menggalakkan amalan mampan serta pengurusan sumber bertanggungjawab bagi memastikan kesejahteraan hutan di negeri ini dalam jangka panjang.

Pengerusi STA Dato Henry Lau berkata, ia dibuktikan dengan 24 Unit Pengurusan Hutan (FMU) dan tujuh Unit Pengurusan Ladang Hutan meliputi kawasan seluas 2.16 juta hektar telah mencapai status diperakui.

“Berikutan usaha ini, kami berbesar hati untuk berkongsi pencapaian penting ahli kami dalam Pensijilan Pengurusan Hutan (FMC).

“Pada masa ini, 24 FMU dan tujuh Unit Pengurusan Ladang Hutan, meliputi kawasan seluas 2.16 juta hektar, telah mencapai status disahkan dan dengan bangganya memegang pensijilan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia yang disahkan oleh Program Pengendorsan Pensijilan Hutan (PEFC) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Pengurusan Mampan Hutan Tropika anjuran STA yang dihadiri Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Lau berkata meskipun mencapai FMC, industri perkayuan masih menghadapi fitnah dan tohmahan, sering digambarkan sebagai didorong semata-mata oleh motif ekonomi dan dituduh mengabaikan kebimbangan yang meluas.


Lau (duduk, tengah) bersama Hamden (duduk, dua kiri), Pengerusi WWF Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar (duduk, dua kanan) dan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) Sheam Satkuru (duduk, kiri) merakam kenangan bersama tetamu jemputan lain serta peserta persidangan. - Gambar Chimon Upon

Jelasnya, tanggapan itu cenderung melibatkan semua pemain industri perkayuan terutama apabila berlaku aktiviti haram dan secara tidak adil mengabaikan mereka yang beroperasi secara bertanggungjawab.

“Bagi pemain industri perkayuan yang sangat komited untuk menjalankan penuaian kayu secara mampan dengan tumpuan seimbang terhadap kesejahteraan ekonomi, sosial dan alam sekitar, ia menjadi cabaran yang menggerunkan,” katanya.

Sehubungan itu kata Lau, STA merayu kepada pihak berkuasa atau penggubal dasar agarmemberikan sokongan penuh berterusan kepada pemain industri perkayuan yang berkorban bagi memastikan FMU diperakui untuk FMC.

Katanya, ia boleh dibuat menerusi penyediaan dasar jangka panjang yang mampan dan stabil, telus dan konsisten, terutama dari segi peraturan serta cukai kerajaan, selain pelesenan.

“Dengan demikian, ia sudah pasti menimbulkan keyakinan dalam industri perkayuan dan penting untuk memupuk pertumbuhan berterusan, selain mendorong komitmen industri untuk pelaksanaan berterusan amalan Pengurusan Hutan Mampan (SFM) dan memanfaatkan matlamat alam sekitar jangka panjang,” katanya.

Menurutnya lagi, cabaran lain yang dihadapi ialah memastikan pematuhan dengan pelbagai undang-undang kayu yang dikuatkuasakan oleh negara pengguna.

Katanya, takrifan, peraturan dan keperluan yang tidak konsisten negara pengguna bukan sahaja mewujudkan halangan perdagangan, tetapi juga menimbulkan kekeliruan dan ketidakkonsistenan dalam usaha kerjasama antarabangsa.

“Landskap kawal selia yang kompleks ini, ditambah lagi dengan keperluan untuk sumber tambahan dan pembinaan kapasiti, dengan ketara meningkatkan beban kos ke atas negara pengeluar kayu.

“Cabaran ini, walaupun penting ia sebahagian kecil daripada kerumitan yang dihadapi oleh industri perkayuan di arena global,” katanya.

Sementara itu, Lau berkata, dunia mengalami kerugian global sebanyak 4.1 juta hektar hutan primer tropika pada 2022 iaitu 10 peratus lebih tinggi berbanding 2021.

Katanya, penebangan hutan di kawasan tropika sering dikaitkan dengan pengembangan pertanian komersial dan aktiviti lain yang lebih menguntungkan, mengakibatkan kehilangan kawasan hutan yang besar akibat penukaran penggunaan tanah itu.

“Walaupun berdekad-dekad inisiatif yang bertujuan untuk menghenti dan membalikkan kehilangan hutan, kadar membimbangkan yang berterusan mendorong kami untuk mempersoalkan keberkesanan usaha ini.

“Oleh itu, tiada perkara yang lebih mendesak melainkan memulihara hutan tropika dan menggalakkan amalan mampan dan bertanggungjawab untuk masa depan yang mampan dalam ekosistem,” katanya.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 09:33 AM GMT+8 , Processed in 0.125194 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list