BERSALAH: Tertuduh diiring keluar untuk menjalani hukuman selepas prosiding mahkamah dijalankan.
TAWAU: Seorang pekerja bengkel dipenjara satu bulan dan denda RM11,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk di Jalan Sim Hwa Seng di sini.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminudin menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira fakta tertuduh Ibrahim Abdullah, 37, memiliki 30 saman trafik atas pelbagai kesalahan yang belum diselesaikan.
Antaranya 18 saman tidak memiliki lesen memandu dari tahun 2007 hingga 2024 yang menunjukkan tertuduh tidak mengambil serius dengan undang-undang serta kesalahan yang dilakukan.
Menurut fakta kes, tertuduh melakukan kesalahan itu pada 7 Oktober tahun lepas kira-kira jam 1.20 pagi memandu sebuah kenderaan ditahan anggota trafik yang sedang melakukan Ops Mabuk.
Tertuduh dihukum penjara atas kesalahan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara lima bulan jika gagal membayar denda dan hilang kelayakan memiliki lesen selama dua tahun.
Semua pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Joan Lee dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi sebagai pengajaran kepada diri tertuduh dan mesej kepada pengguna jalan raya mengetahui hukuman memandu di bawah pengaruh alkohol adalah berat.
|