Pengadil Darren Bond berbicara dengan pemain pertahanan Sheffield United Robinson (kanan) selepas insiden perbalahan dengan rakan sepasukan Souza (tidak kelihatan) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Wolverhampton Wanderers dan Sheffield United di stadium Molineux di Wolverhampton, kelmarin. — Gambar AFP
WOLVERHAMPTON: Pemain Sheffield United berbalah sesama sendiri ketika tewas 0-1 di Wolves pada Ahad, sekali gus menyebabkan mereka semakin menghampiri penyingkiran dari Liga Perdana Inggeris.
Tandukan Pablo Sarabia memastikan kemenangan buat skuad kendalian Gary O’Neill dan meletakkan Wolves di tangga kelapan liga.
Selepas gol itu, satu perbalahan tegang di antara dua pemain Sheffield, Vinicius Souza dan Jack Robinson berakhir dengan kedua-dua pemain saling menolak.
Satu pemeriksaan video bantuan pengadil (VR) diperlukan sebelum kedua-dua pemain dibenarkan untuk terus bermain, mengimbau kembali pergaduhan di antara dua pemain Newcastle United, Lee Bowyer dan Kieron Dyer yang menyebabkan kedua-dua pemain dibuang padang pada 2005.
Tetapi pengurus Sheffield, Chris Wilder, menolak kepentingan insiden itu ke atas semangat pasukannya.
“Ia berlaku dalam setiap kelab yang mempunyai masalah, tiga atau empat kali setahun,” kata Wilder.
“Ia berlaku di sebalik tabir di setiap kelab, sama ada di Man City atau di kelab tercorot Liga Dua.
“Anda tidak mahu melihatnya tetapi ia berlaku. VAR mengesannya dan bagi saya, anda harus meneruskan kehidupan dengan cepat. Mereka diberitahu tentang tanggungjawab mereka pada masa rehat. Kami bercakap kepada pemain dan mereka kembali tenang.”
Sheffield menunjukkan kebangkitan dalam separuh masa kedua untuk mencemaskan Wolves terutama sekali di akhir permainan.
Sheffield hampir mengikat kedudukan pada lewat permainan apabila Auston Trusty gagal menyempurna hantaran berbahaya James McAtee.
Tetapi kekalahan ke-19 dari 26 perlawanan liga menyebabkan Sheffield United masih menghuni tangga terbawah liga, lapan mata dari zon selamat dan membayangkan kepulangan segera ke Liga Kejuaraan pada musim hadapan.
Satu musim bermasalah juga diramalkan buat Wolves selepas kehilangan pengurus Julen Lopetegui beberapa hari sebelum musim bermula.
Wolves memintas Chelsea, Newcastle dan West Ham United dan kurang satu mata di belakang Brighton yang berada di tangga ketujuh liga. — AFP
|