CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1609|Reply: 0

[Pulau Pinang] Asrama pekerja asing jadi tempat 'ternak' nyamuk

[Copy link]
Post time 27-2-2024 11:28 AM | Show all posts |Read mode
Asrama pekerja asing jadi tempat 'ternak' nyamuk


Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Februari 27, 2024 @ 11:16am  bhnews@bh.com.my




Ketua Inspektorat Cawangan Penyakit Bawaan Vektor JKNPP, Mohd Wazir Khalid melihat longkang yang dipenuhi sampah serta menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang membawa wabak denggi selain nyamuk Culex dalam pemeriksaan Op Ganyang di Seberang Jaya. NSTP/DANIAL SAAD




SEBERANG JAYA: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengambil tindakan drastik memeriksa bahagian dalam flat yang dijadikan asrama ramai warga asing dalam Op Ganyang di Lorong Sembilang di sini, berikutan peningkatan kes denggi sekitar kawasan terbabit.

Ketua Inspektorat Cawangan Penyakit Bawaan Vektor JKNPP, Mohd Wazir Khalid, berkata di antara 70 hingga 80 peratus penduduk kawasan itu terdiri daripada warga asing yang tinggal di premis yang turut disewa pihak industri sebagai asrama pekerja dan pihaknya mendapati ada di antara unit kediaman mereka berada dalam keadaan kotor serta tidak terurus.

"Kami menyarankan pengurusan pekerja supaya memantau tahap kebersihan di premis yang dijadikan sebagai asrama supaya sentiasa berada dalam keadaan terkawal dengan kebersihan memuaskan dengan tindakan undang-undang turut boleh dikenakan terhadap mereka.

"Lokaliti ini merupakan antara kawasan 'hotspot' denggi dengan tempoh paling lama iaitu sebanyak 46 hari yang ketika ini merekodkan empat kes yang masih aktif," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi berakhir malam tadi.

Mohd Wazir berkata, terdahulu pihaknya turut meninjau satu lagi kawasan flat yang merekodkan 33 kes denggi dalam tempoh 86 hari di Lorong Tenggiri yang diadiami 40 hingga 60 peratus komuniti warga asing.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi terbabit mendapati terdapat unit flat yang kelihatan baru diubahsuai dengan pembinaan struktur tambahan namun sisa bahan yang digunakan seperti simen tidak diurus dengan baik dan dibiarkan masuk ke dalam longkang sehingga menyebabkan aliran air tersekat.

Beliau berkata, situasi itu diburukkan lagi dengan pembuangan sampah sarap seperti botol dan plastik oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga longkang yang tersumbat menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang membawa wabak denggi selain nyamuk Culex.

"Kita menemui longgokan simen yang keras menyebabkan longkang tersumbat dan air bertakung. Pada masa sama, banyak longkang tidak diselenggara dan dicuci. Jadi kami menggesa pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan aliran air lancar dan tiada kekotoran di lokaliti tersebut.

"Kami juga mengesan ribuan jentik-jentik nyamuk Culex membiak dalam longkang berkenaan yang berpotensi menyebarkan virus Japanese Encephalitis (JE) serta demam Chikungunya dan dikhuatiri dalam situasi lebih serius impaknya boleh membawa kematian," katanya.

Katanya, berikutan itu pihaknya mengeluarkan 12 notis kompaun dianggar berjumlah RM7,200 bagi kedua-dua lokaliti berkenaan yang turut berpotensi diisytiharkan sebagai kawasan wabak denggi sekiranya kes demam denggi terus menunjukkan peningkatan.

Tambahnya, operasi bermula jam 5 petang hingga 9 malam melibatkan 21 pegawai dan anggota termasuk dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah dan PKD Seberang Perai Utara itu dijalankan hasil risikan dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan data di bilik gerakan vektor negeri.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 02:52 PM GMT+8 , Processed in 0.585311 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list