|
ALONSO dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool. FOTO REUTERS
Berlin: Bekas pengarah sukan Bayer Leverkusen, Rudi Voeller berkata beliau menyokong jurulatih Xabi Alonso supaya kekal di kelab itu selepas musim panas akan datang susulan dikaitkan dengan Liverpool dan Bayern Munich.
Mengambil alih kelab itu yang hampir berada di tangga tercorot musim lalu, Alonso berjaya melonjak Leverkusen, yang kini mendahului lapan mata di puncak Bundesliga dan dalam laluan bagi merangkul kejuaraan liga buat julung kali.
Leverkusen kendalian Alonso tidak kalah dalam 32 perlawanan bagi semua pertandingan musim ini dengan hanya empat keputusan seri.
Voeller memberitahu Bild beliau tidak boleh membayangkan Alonso akan ke mana-mana pada musim panas ini apabila ditanya mengenai masa depan pengurus itu.
Voeller beraksi di Leverkusen sebelum menjadi jurulatih dan kemudian pengarah sukan, jawatan yang dipegangnya hampir dua dekad hingga 2022, apabila beliau mengambil tugas sama dalam pasukan kebangsaan Jerman pada 2022.
Di samping menjadi ahli lembaga pengarah dan duta kelab itu, Voeller kerap dilihat menonton perlawanan Leverkusen dan sering duduk bersebelahan CEO kelab itu, Fernando Carro.
"Ia mungkin berlaku pada tempoh tertentu beliau akan pergi ke kelab lain, tetapi saya tidak dapat bayangkan ia berlaku pada musim panas ini," katanya.
Voeller berkata sekalipun jika Alonso berjaya membantu Leverkusen meraih kejuaraan, "ia tidak akan berakhir, ia akan diteruskan."
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... u-bimbing-liverpool |
|