|
MARTIN berjaya melakukan catatan masa terpantas selepas Pramac menggunakan pakej enjin baharu pada sesi ujian di Sepang kelmarin. - AFP
SEPANG – Pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin memuji kemampuan jentera baharu Ducati, namun tetap waspada dengan peningkatan yang dipamerkan oleh pasukan pesaingnya.
Pada hari pertama sesi ujian rasmi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), naib juara musim lalu itu memimpin ujian tersebut dengan catatan satu minit 57.951 saat (s) sepanjang sesi lapan jam tersebut kelmarin.
Bagaimanapun, Martin memberi amaran kepada Ducati bahawa lebih banyak pasukan bakal memberi tentangan kepada mereka terutama peningkatan mendadak Yamaha dan juga Aprilia menerusi pakej baharu mereka.
“Saya tidak menjangkakan untuk mencatat masa terpantas pada hari pertama, tetapi kami menjadi lebih baik selepas memperbaiki masalah tahun lalu dan saya cuba menjadi pelumba yang lebih baik.
“Kami juga telah mencuba enjin baru dan mencatat masa yang baik dengan jentera baru kami ini. Ia adalah rujukan yang baik untuk melihat potensi jentera ini musim ini.
“Apapun, pasukan lain juga turut menunjukan peningkatan mendadak terutama di laluan lurus terutama Yamaha, Aprilia dan juga Honda.
“Saya tidak tahu mengenai catatan masa mereka tetapi kelajuan mereka pasti meningkat. Jadi saya rasa kita perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan,” kata Martin.
Pada sesi tersebut, pelumba baharu, Pedro Acosta dari Red Bull GASGAS Tech3 mengekalkan aksi terbaik mencatat masa kedua terpantas dengan catatan satu minit 58.220s.
Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo juga mencuri tumpuan apabila mencatat masa ketiga terpantas dengan catatan satu minit 58.228s. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... ng-ancaman-pesaing/ |
|