Bukit Mertajam: Sepasang suami isteri yang dilaporkan menganggu pengguna jalan raya dengan
menakutkan penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang direman selama empat hari.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 50 dan wanita berusia 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan bermula hari ini hingga Sabtu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pasangan suami isteri yang berpakaian lokap tiba di pekarangan Mahkamah Majistret, di sini kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiringi polis.
Semalam, kedua-dua suspek itu ditahan polis di sebuah premis dekat Georgetown susulan video tular yang memaparkan kelakuan berbahaya pasangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris dilaporkan berkata, pihaknya mengesan suspek selepas melihat satu video tular kira-kira jam 12.30 tengah malam Isnin.