CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6210|Reply: 0

[Sabah] Komuniti Pulau Timba-Timba mohon bantuan kerajaan majukan industri pelancongan

[Copy link]
Post time 5-2-2024 12:46 PM | Show all posts |Read mode


SUMBANGAN: Wan Azmi (lima kanan) ketika menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada Suhul yang mewakili penduduk.
SEMPORNA: Komuniti nelayan dan pewaris tanah di Pulau Timba-Timba, di sini memohon kerajaan negeri bantu bangunkan industri pelancongan di pulau ini.

Pulau Timba-Timba berpotensi dijadikan sebagai pusat pelancongan terkenal sekiranya dimajukan dengan bantuan kerajaan negeri terutamanya Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS).

Ketua Komuniti Pulau Timba-Timba, Suhul Mohd berkata, komuniti di pulau ini sangat mengharapkan bantuan kerajaan negeri untuk memajukan tanah mereka.

Katanya, pulau ini sememangnya sudah menjadi kunjungan pelancong, namun jumlah pengunjungnya masih rendah hanya sekitar 200 orang sehari berbanding dengan pulau lain yang sudah diusahakan.

“Komuniti di sini tidak mahu pulau ini diusahakan oleh pelabur luar seperti kawasan lain kerana akan menjejaskan ekonomi dan pendapatan penduduk.

“Kita mahukan kerajaan negeri membantu komuniti menyediakan fasiliti seperti jeti dan inap desa di pulau ini supaya pelancong luar boleh bermalam serta menjalankan aktiviti di sekitar laut di sini,” katanya.

Beliau ketika ditemui dalam majlis penyerahan bantuan bakul makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO) kepada komuniti sekitar Pulau Timba-Timba, di sini, baru-baru ini.

Suhul berkata, Pulau Timba-Timba sangat menarik kerana mempunyai pantai, air laut dan hidupan marin yang cantik.

Namun ketika ini katanya, pelancong hanya datang untuk melakukan aktiviti di laut termasuklah menyelam tanpa bermalam di sini.

“Kita sedia maklum, untuk mengusahakan pusat pelancongan memerlukan kebenaran dan kos yang sangat tinggi supaya boleh digazetkan sebagai pusat pelancongan.

“Justeru, saya berharap KePKAS memberi bantuan dan kelonggaran untuk komuniti terutamanya nelayan mengusahakan pulau ini sebagai destinasi pelancongan,” katanya.


ALBUM: Wan Azmi bersama pasukan NGO lain bergambar bersama penduduk di Pulau Maiga.

Bagi komuniti Pulau Timba-Timba, Muhammad Anas Hafiz Nusri pula berkata, sumber ekonomi utama di pulau ini adalah menangkap ikan dan hasil laut yang lain.

Katanya, sangat rugi sekiranya pulau yang sangat cantik ini dan kerap dikunjungi pelancong luar tidak diusahakan dengan sebaiknya.

“Saya memohon kerajaan negeri dapat membantu mengusahakan produk pelancongan di pulau ini, memandangkan komuniti di sini tidak mempunyai kewangan yang mencukupi.

“Kami mahu memanfaatkan dan mengambil peluang dengan kehadiran pelancong yang ramai di Semporna supaya pulau kami juga dapat dimajukan,” katanya.

Menurutnya, komuniti pulau sememangnya memerlukan beberapa inap desa supaya pelancong yang datang di sini tidak hanya melakukan aktiviti menyelam dan balik, tetapi mereka juga boleh bermalam.

“Komuniti di sini terutamanya belia juga memerlukan latihan kemahiran seperti menghasilkan kraftangan supaya dapat meningkat ekonomi mereka,” katanya.


SUHUL, MUHAMMAD ANAS

Sementara itu, Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau, Ustaz Wan Azmi Wan Omar berkata, pihaknya berbesar hati dapat melaksanakan program bantuan di pulau ini bersama NGO lain.

Katanya, sebanyak 613 asnaf yang dikenal pasti di empat buah pulau iaitu Pulau Timba-Timba, Pulau Maiga, Pulau Kalapuan dan Pulau Pandanan Kecil menerima bantuan ini.

“Kita tahu sumber pendapatan semua asnaf di pulau berkenaan hanya mengharapkan hasil laut dan sangat terhad untuk kehidupan mereka.

“Justeru, dengan adanya NGO memberi sumbangan ini dapat meringankan serba sedikit bebanan yang mereka tanggung, terutamanya pada musim Monsun Timur Laut ini,” katanya.

Selain itu, katanya, penduduk di sekitar pulau ini juga memerlukan pendidikan secara formal supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan baik.

“Kita lihat hanya pendidikan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup mereka dan saya mengharapkan kerajaan juga dapat membantu anak-anak di sini,” katanya.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 12:40 AM GMT+8 , Processed in 0.055081 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list