ZAFOR
KUALA LUMPUR: Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFAA) yang julung kali diadakan pada 7 hingga 11 Ogos depan sudah telah menerima 1,058 penyertaan dari 98 negara.
Pengarah Eksekutifnya Zafor Firoze berkata, pihaknya yakin jumlah penyertaan akan mencapai sasaran dalam tempoh tiga bulan akan datang apabila penyertaan ditutup pada 31 Mei.
Katanya, KLIFAA berhasrat untuk menjadi tonggak budaya global melalui perkongsian strategik, liputan media yang meluas dan komitmen terhadap kecemerlangan. “Kami mahu meletakkan KLIFAA sebagai platform utama untuk pembikin filem, pengamal industri dan penonton di seluruh dunia.
“Inilah daya penggerak kami dalam bekerja keras untuk mendapatkan penyertaan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Zafor yakin jawatankuasa anugerah telah melaksanakan proses pemilihan yang ketat untuk memastikan KLIFAA 2024 mempamerkan kemuncak pencapaian sinematik dan menarik karyawan untuk menghantar karya terbaik mereka.
“Kami berharap untuk mendapat lebih banyak penyertaan kerana penyertaan berkualiti adalah tunjang kepada mana-mana festival,” katanya.
Katanya, tidak seperti anugerah lain, KLIFAA, walaupun baharu, bukan sekadar acara penganugerahan tetapi meraikan kecemerlangan dalam penerbitan filem dan televisyen.
“Fokus kami ialah pada inklusiviti, kepelbagaian dan memupuk impak global melalui penceritaan kerana inilah keunikan kami.
“Kami membuka ruang kepada kategori seperti Filem Cereka, Drama TV, Dokumentari, Filem Pendek dan Animasi,” katanya.
HASAN
Sementara itu, Presiden KLIFAA, Dr Hasan Hamzah berkata, pihaknya mahu menjadi satu kuasa baharu yang memacu industri serta mempamerkan karya hebat walaupun berhadapan cabaran.
“Sama seperti Festival Filem Cannes yang membawa harapan kepada industri filem Perancis, kami melihat KLIFAA juga memainkan peranan yang sama dalam memupuk bakat tempatan,” katanya.
|