|
Mangsa dijumpai mati dalam keadaan tertiarap di atas sofa di sebuah rumah di Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu semalam. FOTO IHSAN BOMBA
KOTA BHARU – Seorang peniaga kelapa dijumpai mati dalam keadaan tertiarap di atas sofa di rumahnya di Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa, di sini semalam selepas lebih seminggu hilang tanpa khabar berita.
Kematian mangsa yang dikenali dengan panggilan Kamal, 37, disedari oleh seorang penduduk, Ismail Saamah, 75, yang datang ke rumahnya kira-kira pukul 12 tengah hari.
Menurut Ismail, dia melihat pintu rumah mangsa berkunci dari dalam sebelum memanggil lelaki itu beberapa kali, namun tiada jawapan.
“Saya mengesyaki ada perkara yang tidak kena selepas terhidu bau yang amat busuk. Saya terus memanggil seorang lagi penduduk untuk mendapatkan kepastian mengenai bau tersebut.
“Selain itu, saya juga melihat beberapa ekor ayam peliharaan Kamal yang sudah mati. Saya terus memanggil tukang besi untuk membantu memecahkan pintu rumah itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Ismail memberitahu, dia melihat mayat mangsa berada dalam keadaan tertiarap di atas sebuah sofa semasa anggota bomba tiba di rumah tersebut.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Shukri Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Katanya, tujuh anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu membuka pintu rumah tersebut yang terkunci dari dalam.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan maklumat mengenai kes tersebut akan diberikan secepat mungkin. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/01 ... h-mati-dalam-rumah/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|